KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjemput Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk menyertai beliau menaiki Komuter Selatan dari Kulai ke Johor Bahru, Selasa ini, sempena pelancaran perkhidmatan berkenaan.
Menurut Loke yang juga Setiausaha Agung DAP, meskipun Onn Hafiz sebelum ini menyatakan beliau tidak mahu duduk bersama-sama dengan DAP, namun jemputan tetap dibuat kepadanya.
“Walaupun dia kata tidak mahu duduk dengan DAP, tidak mengapa. Saya jemput dia duduk sebelah dan mengambil keretapi KTM dari Kulai sampai Johor Bahru.
“Inilah sikap kita, semangat kita. Saya belajar dari Datuk Seri Anwar (Ibrahim). Jadi orang politik kena ada kesabaran tahap dewa kerana kesabaran itulah yang akan membawa kepada kemenangan dan kejayaan kita,’’ katanya.
Loke berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di Seremban malam tadi. Ia dilancarkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baru-baru ini, Onn Hafiz ketika berucap pada majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Kota Iskandar, Johor Bahru, menegaskan beliau lebih rela melepaskan jawatan Menteri Besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa pendirian tersebut bermotifkan perkauman.
“Saya lebih rela tidak memegang jawatan menteri besar daripada duduk semeja dengan mereka.
“Jika diberi mandat sekali lagi, kita tidak sesekali akan bersama-sama DAP dalam kerajaan. Ini bukan isu emosi atau perkauman, tetapi pendirian politik BN Johor,” kata Onn Hafiz.
Dalam pada itu, Loke berkata, DAP bukan parti yang sombong dan tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa malah pernah bekerjasama dengan pelbagai parti lain termasuk PAS.
“Sebab dekat Johor, ada orang kata tak nak duduk dengan DAP, baru pagi tadi (Jumaat), saya hadir Mesyuarat Kabinet, saya masih duduk sebelah Presiden Umno.
“Ada orang ingat dia lebih tinggi daripada orang lain walaupun dia tak berapa tinggi. Dia tak nak duduk dengan saya tak apa, tak nak duduk dengan DAP tak pa….kita tidak memusuhi sesiapa.
“Kita pernah bekerjasama dengan pelbagai parti malah PAS pun pernah berkerjasama. Mungkin Tok Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dah lupa, dia dulu peluk Kit Siang (Lim) dengan kuat sekali,’’ katanya.
Loke turut memberitahu, meskipun ada pihak yang tidak mahu duduk semeja dengan DAP namun Kerajaan Persekutuan masih ada parti berkenaan dan beliau juga masih Menteri Pengangkutan. – 13 Jun, 2026
