HEADLINES

Hamzah umum parti baharu, Parti Wawasan Negara

Hamzah berkata nama Parti Wawasan Negara itu diberikan oleh Presiden PAS dan akan mengadakan AGM pertama pada tahun hadapan

4:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini menjawab persoalan mengenai parti baharunya apabila melancarkan Parti Wawasan Negara, dalam Konvensyen Reset, yang diadakan di Kelantan.

Menurut Hamzah, yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu, nama parti berkenaan diberikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Jelasnya, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti berkenaan yang pertama akan diadakan pada tahun hadapan.

“Saya nak maklumkan kita akan melakukan AGM yang pertama pada tahun hadapan. Nama (parti) diberi oleh ayahanda saya (Hadi) dan parti itu bernama Parti Wawasan Negara.

“Alhamdulillah, cuma kami ini baru dilahirkan, kalau baru dilahirkan, tidak dijaga oleh ayahanda, tidak diangkat, ditatih oleh ayahanda, kami tidak tahu di mana hala tuju.

“Kami mahu bersama dengan PAS, Gerakan dan parti lain,’’ katanya ketika berucap pada Konvensyen Reset yang diadakan di Tanah Merah, Kelantan, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, bekas Pengerusi Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Menurut Hamzah, Wawasan akan membentuk kerjasama politik yang lebih komprehensif demi agenda pembangunan negara.

Sebelum menyertai Bersatu, Hamzah adalah antara Ahli Parlimen Umno yang keluar daripada parti berkenaan pada Disember 2018 selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun pada Februari lalu, Hamzah telah dipecat daripada Bersatu selepas Lembaga Disiplin parti itu menggunakan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu
.
Selain Hamzah, yang lain turut dipecat, iaitu Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Kapten Azahari Hasan (Padang Rengas), dan Fathul Huzir Ayob (Gerik), serta Ahli Dewan Undangan Negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik) dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban) dan Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor).

Susulan pemecatan Hamzah pada Februari, beliau kemudiannya menubuhkan gerakan Reset namun enggan mendedahkan atau mengesahkan mengenai parti politik bakal disertainya. – 13 Jun, 2026

Topics

 

Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Expanded quota: M-League clubs allowed to register 33 players for 2025–26 season

MFL adds three local player slots per team, citing absence of youth squads and MFL Cup

Spotify hikes Premium subscription fees by RM1 to RM3 in Malaysia

Subscribers will face higher monthly payments across all Premium plans, effective from September

Related