KUALA LUMPUR – Pengerusi Mara Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau diminta oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, supaya memastikan proses pindaan diselesaikan mengikut jadual agar ia dapat dibentangkan tahun ini.
Asyraf Wajdi berkata peringkat ini ialah peringkat dasar dan drafnya akan diberikan kepada semua pihak berkepentingan, khususnya kementerian lain untuk dinilai dan diperhalusi.
“Selepas itu kita akan bawa sekali lagi ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, Johor Bahru. Turut hadir Ahmad Zahid serta Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Asyraf menjelaskan, pindaan ini penting bagi memastikan Akta Mara lebih relevan dan mampu memperkukuh peranan agensi dalam agenda pembangunan bumiputera.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata Kertas Dasar bagi penggubalan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2026 telah diluluskan Jemaah Menteri.
Akta baharu itu bakal menggantikan Akta MARA 1966 dengan kira-kira 80 peratus perubahan, tertumpu kepada aspek tatakelola dan tadbir urus berasaskan piawaian antarabangsa serta amalan korporat yang baik. – 14 Jun, 2026
