KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan penstrukturan semula pentadbiran dengan menggugurkan perkhidmatan dua pemimpin Bersatu iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam gabungan berkenaan, berkuat kuasa serta merta.
Dalam kenyataan malam tadi, Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Ahmad Samshuri Mokhtar berkata, Azmin digugurkan sebagai Timbalan Setiausaha Agung manakala Datuk Mohd Radzi digantikan sebagai Pengarah Pilihan Raya oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
Sementara itu, Subramaniam Surunaryan akan menggantikan Sanusi sebagai Bendahari PN.
Tindakan berkenaan, katanya, adalah bagi memenuhi kehendak perlembagaan gabungan berkenaan.
Menurut Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu, penstrukturan itu diadakan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI), dan (VII) Perlembagaan PN.
“Suatu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi Perikatan Nasional,’’ katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN Johor pada 11 Julai manakala 1 Ogos bagi PRN Negeri Sembilan. – 18 Jun, 2026
