KUALA LUMPUR – Kejayaan memperluas peranan Petronas dalam sektor tenaga Turkmenistan telah membuka akses kepada antara rizab gas terbesar dunia, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap tenaga global, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri dalam hantaran di Facebooknya hari ini berkata, perkembangan itu mencerminkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan Malaysia serta rekod cemerlang syarikat minyak nasional itu yang telah bertapak dan beroperasi di Turkmenistan selama tiga dekad.
“Lawatan ini turut menyaksikan pemeteraian pelbagai dokumen kerjasama dalam bidang pendidikan, latihan diplomatik, penerbangan, sains dan pembangunan modal insan.
“Saya yakin kesepakatan yang dicapai akan mengangkat hubungan Malaysia-Turkmenistan ke tahap yang lebih kukuh demi kemakmuran rakyat dan kepentingan negara,’’ katanya.
Pada Sabtu, Petronas menerusi anak syarikat milik penuhnya Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd (PC(T)SB) telah memeterai beberapa perjanjian baharu bagi memperkukuh kerjasama strategik jangka panjang dengan negara itu.
Antara perjanjian itu adalah kerjasama dengan State Concern Turkmennebit (Turkmennebit) dan State Enterprise Hazarnebit (Hazarnebit) bagi memperkukuh kehadirannya di Laut Kaspia serta memperluas portfolio huluannya di negara itu.
Anwar mengadakan lawatan rasmi dua hari, bermula 18 hingga 19 Jun ke negara Asia Tengah itu turut menyaksikan pemeteraian pelbagai dokumen kerjasama melibatkan bidang pendidikan, latihan diplomatik, penerbangan, sains dan pembangunan modal insan.
Dalam pada itu, beliau berkata, lawatan tersebut membuktikan eratnya persahabatan Malaysia-Turkmenistan, di samping membuka peluang kerjasama strategik yang lebih luas.
“Paling utama, kejayaan diplomasi tenaga negara diterjemahkan melalui pengukuhan peranan Petronas serta pemeteraian beberapa perjanjian penting yang bakal memperluas penglibatan Malaysia dalam sektor minyak dan gas Turkmenistan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Presiden Serdar Berdimuhamedov atas komitmen memperkukuh hubungan kedua-dua negara,’’ katanya. – 21 Jun, 2026
