HEADLINES

Usai isu Ketua Pembangkang berjangkit ke konvoi motor PAS: Dewan Rakyat ‘kecoh’ lagi

Sidang Dewan Rakyat hari ini bertukar kecoh selepas penganjuran konvoi motosikal anjuran PAS dikritik hebat kerana dikaitkan dengan aktiviti mat rempit

2:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Belum pun reda isu pertukaran Ketua Pembangkang semalam, Dewan Rakyat hari ini kembali ‘panas’ apabila penyokong kerajaan mula ‘menyerang’ penganjuran konvoi motosikal PAS di Kelantan yang didakwa menggalakkan gejala lumba haram.

Drama bermula apabila Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) memetik nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud, ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang menyentuh isu lumba haram.

Menurut Ahli Parlimen DAP itu, penganjuran konvoi bermotosikal oleh pihak kepimpinan seolah-olah memberi lampu hijau kepada anak muda untuk terus bermaharalela di jalan raya.

“Mereka akan berlumbalah, sebab disokong kerajaan Kelantan sendiri. Kita perlu kutuk sekeras-kerasnya tindakan ADUN itu. Kita sebagai pemimpin sepatutnya menunjukkan teladan baik, bukannya pergi menganjurkan konvoi pergi ke lapangan terbang. Anjuran mereka ketika itu adalah waktu ramai nak pergi ke Haji.

“Mereka nak naik kapal terbang di Kota Bharu, tetapi mereka panggil konvoi motosikal beramai-ramai pergi ke sana. Sebagai seorang ahli politik, wakil rakyat, sepatutnya menunjukkan teladan baik, bukannya menganjurkan konvoi motosikal yang banyak-banyak pergi ke sana, itu tidak betul,” bidasnya penuh geram.

Kenyataan itu lantas mengundang ‘peluru balas’ daripada blok pembangkang. Salamiah Mohd Nor (PH-Temerloh) segera bangkit dan menegaskan bahawa program tersebut bukanlah aktiviti liar seperti yang dituduh. Beliau menjelaskan bahawa konvoi itu berada dalam kawalan, bukan seperti lumba haram, malah siap ada polis escort (pengiring) sekali serta mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Tidak cukup dengan itu, Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang mengambil alih sesi perbahasan turut menyelar tindakan Poay Tiong yang dianggap terlalu mudah ‘memetik’ dan mengaitkan konvoi tersebut dengan gejala mat rempit.

Namun, Kota Melaka tetap dengan pendiriannya dan membidas semula dengan mengatakan bahawa sekali konvoi sebegini dibuat, anak muda akan cenderung untuk melakukannya lagi secara berterusan.

Untuk rekod, program ‘Konvoi dan Lepak Anak Muda Bersama YB-YB’ anjuran Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan Pemuda PAS Kelantan pada April lalu sememangnya pernah tular dan menerima kritikan hebat netizen di media sosial sebelum ini.

Di sebalik kekecohan konvoi tersebut, RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang sedang dicanang di Parlimen sebenarnya bakal membawa hukuman yang jauh lebih digeruni penunggang tegar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ketika membentangkannya semalam menjelaskan bahawa peruntukan baharu Seksyen 42A akan menjadikan aktiviti berlumba atau menduga kelajuan sebagai kesalahan khusus.

Bagi kesalahan pertama, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000, atau hukuman penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman akan menjadi jauh lebih berat di mana denda boleh melonjak dari RM5,000 sehingga RM20,000, atau berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Nampaknya, selepas ini bukan sahaja suasana di Dewan Rakyat yang semakin ‘panas’, malah jalan raya juga bakal menjadi medan yang sangat ‘mahal’ buat mereka yang cuba berlagak sebagai samseng jalanan. – 24 Jun, 2026

Topics

 

Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Related