KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan tindakan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meninggalkan parti sebenarnya berpunca daripada kekecewaan gagal mendapatkan pencalonan buat anaknya di DUN Rengit, dan bukannya akibat campur tangan Istana Johor.
Asyraf Wajdi mendedahkan, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu sebelum ini pernah menghantar mesej panjang lebar yang berbaur ugutan untuk menghentam parti sekiranya tuntutan peribadi itu tidak dipenuhi.
“Sedangkan beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya kepimpinan tertinggi Umno tidak mempertimbangkan anak beliau sebagai calon di DUN Rengit,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Bukan ‘drama’ pertama
Menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak wajar bagi seorang pemimpin senior, Asyraf turut mendedahkan ini bukan kali pertama Mohd Puad menggunakan taktik ugutan apabila kehendak peribadinya gagal dicapai.
Zaman Najib Razak, Mohd Puad pernah mengugut perkara sama apabila tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat.
Umno mengakui potensi anak Mohd Puad, namun pemilihan calon tertakluk kepada pelbagai faktor komprehensif, bukannya ‘kuota keluarga’.
Umno bukan parti warisan anak beranak
Mengulas dakwaan Mohd Puad kononnya Istana mengawal Umno Johor sehingga mencetuskan pembubaran Dewan Negeri pada 1 Jun lalu, Asyraf membidas kenyataan itu sebagai fitnah yang tidak berasas sama sekali.
Beliau menegaskan institusi parti tidak sepatutnya dijadikan tebusan oleh rasa kecewa individu atau agenda kronisme.
“Umno bukan parti warisan anak beranak yang mesti mengutamakan keluarga dan suku sakat untuk menjadi pemimpin.”
“Maka amat tidak wajar, setelah segala ruang, kedudukan dan manfaat diperoleh, parti sendiri pula mahu diugut dan dihentam hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi.”
Tegas Asyraf, Umno akan kekal berdiri sebagai wadah perjuangan demi bangsa, agama, dan tanah air tanpa tunduk kepada tekanan atau ego mana-mana individu. – 25 Jun, 2026
