KUALA LUMPUR – Polis Johor menerima sebanyak 153 laporan polis setakat petang ini, berhubung kenyataan yang dibuat bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi yang mengaitkan Institusi Diraja dalam proses pemilihan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menjangkakan jumlah laporan akan bertambah di seluruh Malaysia.
Laporan yang diterima katanya, diterima daripada pelbagai pihak termasuk bekas Exco Kerajaan Negeri Johor dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor.
“”Setakat jam 3.00 petang, sebanyak 153 laporan polis telah diterima di seluruh Malaysia dan pihak polis menjangkakan jumlah laporan ini akan terus meningkat.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah beberapa peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Bagi Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, hukuman jika disabitkan kesalahan kali pertama ialah denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan berikutnya boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun. ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi, hari ini mengumumkan keluar parti serta-merta, mendakwa Umno Johor kini menjadi ‘boneka’ yang dikawal oleh Istana.
Dalam kenyataan lantang di Facebook, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu menyifatkan tindakannya sebagai satu bentuk ‘keberanian politik’ untuk mendedahkan campur tangan yang mengekang kebebasan parti di negeri tersebut.
Bagaimanapun Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika menjawab dakwaan tersebut menolak sekeras-kerasnya dakwaan Puad bahawa beliau pernah memaklumkan kononnya pihak Istana mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Onn Hafiz menegaskan Menteri Besar tidak boleh membubarkan DUN sesuka hati, sebaliknya perlu melalui proses perlembagaan dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan.
Dalam pada itu, Ab Rahaman berkata bagi Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan pula iaitu mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, jika disabitkan kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Ab Rahman turut menasihatkan orang ramai supaya menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan tidak membuat sebarang komen atau spekulasi yang boleh menimbulkan kegelisahan awam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi tujuan yang melanggar undang-undang,’’ katanya. – 25 Jun, 2026
