HEADLINES

Sultan Sharafuddin puji Anwar teruskan projek LRT3 Laluan Shah Alam

Sultan Selangor bertitah bahawa Laluan LRT3 Shah Alam berjaya direalisasikan hasil komitmen berterusan merentasi beberapa pentadbiran kerajaan, sambil memuji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menghidupkan semula projek itu serta bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana memulakannya

9:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menghidupkan semula dan memperkukuh projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan, termasuk mengembalikan lima stesen yang sebelum ini dibatalkan.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini sempena siapnya projek tersebut, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa laluan rel itu merupakan hasil perancangan berterusan dan kerjasama merentas beberapa pentadbiran kerajaan, bukannya kejayaan mana-mana pihak secara bersendirian.

Baginda secara khusus merakamkan penghargaan kepada Anwar kerana menghidupkan semula dan memperkukuh projek itu selepas memegang jawatan Perdana Menteri, termasuk mengembalikan lima stesen yang pernah dibatalkan serta menyokong pembangunan yang lebih meluas di sepanjang koridor LRT3.

“Apabila Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau bersetuju untuk meneruskan projek ini dengan mengembalikan semula lima buah stesen yang telah dibatalkan.

“Beliau juga akan membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan sepanjang jajaran LRT3 bagi memberikan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat beta.

“Beliau juga mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini. Terima kasih dan syabas beta ucapkan kepada Anwar Ibrahim,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menyatakan penghargaan kepada Datuk Seri Najib Razak mendengar titah baginda agar satu kemudahan pengangkutan rel dibina menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur. – Gambar fail, 1 Julai, 2026

Sultan Sharafuddin turut menyatakan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana menyambut baik permintaan baginda untuk mewujudkan jaringan rel yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur, sekali gus menjadi asas kepada pelaksanaan projek LRT3.

Baginda bertitah bahawa cadangan tersebut dikemukakan ketika majlis berbuka puasa di kediaman Najib pada tahun 2015 selepas menerima aduan daripada penduduk, khususnya suri rumah, mengenai suami mereka yang sering pulang lewat akibat kesesakan lalu lintas yang teruk di Lebuhraya Persekutuan.

Sultan Sharafuddin turut bertitah bahawa Klang ketika itu berdepan masalah kesesakan yang semakin buruk berikutan jumlah jambatan yang terhad merentasi Sungai Klang, sekali gus menyukarkan perjalanan antara Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

“Sebagai langkah segera untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, pentadbiran Najib telah memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada tahun 2018,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa penyiapan LRT3 wajar dilihat sebagai kemuncak usaha beberapa pentadbiran kerajaan yang berkongsi matlamat sama untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan di Lembah Klang.

Baginda turut menegaskan bahawa projek tersebut bukan kejayaan mana-mana kerajaan secara individu, sebaliknya hasil perancangan, komitmen dan kerjasama yang berterusan selama bertahun-tahun.

Baginda berharap LRT3 akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan hubungan antara Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur, serta menambah baik kualiti hidup para pengguna.

Sultan Selangor turut menyeru Prasarana Malaysia Berhad memastikan laluan tersebut diselenggara dengan baik dan dikendalikan secara cekap demi manfaat orang ramai.

Baginda menambah bahawa projek infrastruktur berskala besar seperti ini wajar diiktiraf sebagai kejayaan bersama yang memberi manfaat kepada rakyat, dan bukannya dijadikan sebagai kejayaan individu atau mana-mana parti politik.

Laluan LRT3 Shah Alam telah dirasmikan pada Ahad oleh Anwar di Depoh Johan Setia di Klang.

Laluan rel sepanjang 37.8 kilometer itu menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya dengan Johan Setia di Klang menerusi 20 stesen yang meliputi kawasan utama perumahan, komersial dan perindustrian di sepanjang koridor tersebut.

Projek itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk di bahagian barat Lembah Klang dengan menyediakan rangkaian pengangkutan awam utama yang bertujuan mengurangkan kesesakan dan meningkatkan hubungan antara Klang, Shah Alam serta kawasan sekitarnya.

Perkhidmatan kepada penumpang bermula pada keesokan harinya, dengan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai sepanjang hari-hari awal operasi.

Hari pertama operasi Laluan Shah Alam turut menerima maklum balas positif daripada para penumpang yang memuji keselesaan perjalanan, kemudahan moden serta peningkatan jaringan hubungan di seluruh Lembah Klang. – 1 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related