HEADLINES

Kajian UIAM cadang sistem Ahli Majlis DBKL tidak diperkenal pada masa ini: Hannah

Kajian itu mendapati pindaan kepada peruntukan Akta 190 yang digubal untuk mentadbir bandaraya Kuala Lumpur, yang mempunyai kedudukan sebagai ibu negara Malaysia dan Wilayah Persekutuan, adalah agak sensitif kerana melibatkan struktur tadbir urus di peringkat tertinggi, iaitu Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Selangor, dan tidak terhenti pada peringkat Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar dan Lembaga Penasihat

1:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kajian yang dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur mencadangkan sistem Ahli Majlis tidak diperkenalkan dalam struktur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada masa ini.

Sebaliknya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, kajian mendapati mekanisme semak dan imbang perlu diperkukuhkan menerusi struktur sedia ada tanpa menambah satu lagi tapisan dalam membuat keputusan, yang berpotensi menyebabkan pertindihan fungsi atau ketidakjelasan akauntabiliti.

Beliau berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah membentangkan kajian itu kepada Jemaah menteri dan diarah memfokus kepada usaha memperkukuh tadbir urus tadbir urus, akauntabiliti dan mekanisme semak imbang dalam DBKL secara berperingkat sebelum mempertimbangkan sebarang cadangan pindaan Akta 190.

Hannah memberitahu, perkara yang sama perlu dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri dari masa ke semasa dan JWP bersama DBKL kini sedang merangka pelan transformasi bagi memperkukuh tadbir urus DBKL agar terus relevan serta berkesan pada masa hadapan.

Kajian berkenaan dilaksanakan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian dikemukakan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 bagi melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur. – Gambar fail, 2 Julai, 2026

‘Kajian yang dilaksana selama empat bulan bermula 1 Disember lalu mendapati pindaan kepada peruntukan Akta 190 yang telah digubal untuk mentadbir bandaraya Kuala Lumpur, yang mempunyai kedudukan sebagai ibu negara Malaysia dan Wilayah Persekutuan, adalah agak sensitif.

“Ini kerana, ia melibatkan struktur tadbir urus di peringkat tertinggi, iaitu Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Selangor, dan tidak terhenti pada peringkat Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar dan Lembaga Penasihat.

“Kajian menunjukkan banyak isu yang timbul dalam pelaksanaan semasa bukan berpunca secara langsung daripada ketiadaan peruntukan undang-undang, tetapi daripada ketiadaan dokumen yang memperincikan tatakelola seperti garis panduan pelaksanaan dan tatacara pengurusan mesyuarat yang jelas, konsisten dan mempunyai punca kuasa yang mencukupi.

“Dari sudut sejarah dan Perlembagaan Persekutuan, struktur ini adalah evolusi bandaraya Kuala Lumpur daripada model kerajaan tempatan yang berdasarkan pilihan raya kepada model pentadbiran berpusat,’’ katanya dalam jawatan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Hannah menjawab soalan PN-Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang ingin mengetahui rasional dan motif cadangan mengadakan pemilihan Pihak Berkuasa Tempatan di Kuala Lumpur serta adakah Kerajaan menilai implikasinya terhadap perpaduan kaum dan kestabilan sosial pasca pilihan raya.

Kajian berkenaan dilaksanakan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian dikemukakan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 bagi melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.

Terdapat juga cadangan penubuhan Majlis Bandaraya Kuala Lumpur (MBKL) sebagai badan yang menasihati Datuk Bandar daripada kalangan tujuh orang Ahli Parlimen Kuala Lumpur melalui RUU Persendirian.

Bagaimanapun cadangan untuk mengadakan pilihan raya PBT itu termasuk pemilihan Datuk Bandar mendapat tentangan daripada Umno dan PAS.

Mengulas lanjut, Hannah memberitahu, sebarang perubahan kepada struktur asas Akta 190 tidak boleh dilihat sebagai isu teknikal semata-mata malah ruang penambahbaikan yang dikenal pasti perlu dilaksanakan melalui reformasi dalaman secara pentadbiran seperti arahan dalaman, garis panduan, protokol operasi dan mekanisme penyelarasan dalaman institusi sebelum pindaan kepada kerangka statutori dipertimbangkan.

Dalam pada itu, Hannah berkata, hasil kajian menunjukkan dari sudut perundangan dan sejarah, Kuala Lumpur sememangnya ditubuhkan di bawah pentadbiran Datuk Bandar sebagai Perbadanan Tunggal selaras dengan subseksyen 5(1) Akta 190.

“Ia dapat dilihat dengan jelas berdasarkan perbahasan Hansard Parlimen 1960, iaitu bagi menjauhkan pentadbiran ibu kota daripada polemik dan ketidaktentuan politik kepartian tempatan.

“Pewujudan entiti Ahli Majlis dengan kuasa eksekutif atau kuasa mengundi secara langsung berpotensi menjejaskan doktrin pentadbiran Kuala Lumpur menjadi sebuah Perbadanan Pembandaran biasa yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Perubahan sedemikian boleh dilihat sebagai bercanggah dengan niat asal perundangan serta semangat Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur 1974,’’ katanya. – 2 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related