KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) hari ini melancarkan manifesto ‘Johor Untuk Semua’ sebagai tawaran kepada pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Pelancaran itu dilakukan oleh Pengarah Pilihan Raya bersama PKR yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (PH), Datuk Seri Amirudin Shari hari ini.
Ia mengandungi kira-kira 10 tawaran utama bagi memenuhi keperluan semasa rakyat di Johor dengan antara lain, menifesto itu memberikan tumpuan khusus kepada usaha merapatkan jurang pembangunan antara daerah, meningkatkan taraf hidup rakyat serta menggariskan hala tuju yang jelas.
Antaranya mensasarkan 250,000 pekerja bergaji tinggi, Skim Kesihatan Johor sehingga RM100,000 setahun yang memberikan manfaat kepada 500,000 rakyat, tawaran RM8,000 bantuan rumah pertama anak Johor kepada 50,000 keluarga muda, RM1 billion dana untuk PKS dan usahawan, peruntukan RM500 juta untuk Dana Anak Muda Johor serta memacu industri bernilai tinggi.
Dalam ucapannya, Amirudin berkata, beliau tidak mahu membandingkan Johor dengan Selangor atau Pulau Pinang atau mana-mana negeri, namun tawaran manifesto PH adalah bagi mengangkat dan memperkasakan Johor sebagai sebuah negeri yang sempurna dan lengkap.
Menteri Besar Selangor itu memberitahu, Kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan suntikan dan sumbangan ekonomi kepada pertumbuhan negeri itu.
“Pada peringkat negeri, di Pulau Pinang dan Selangor sahaja secara kolektif berjaya menyumbang hampir 40 peratus kepada ekonomi nasional.
“Penilaian ekonomi negeri Selangor tahun lepas oleh Jabatan Perangkaan, berjaya mencatat RM432 bilion dan laporan sama dua hari lepas meningkat sebanyak RM28 bilion kepada RM460 bilion, ini dua kali ganda daripada Johor,” katanya.
Jelasnya lagi, falsafah pembangunan baharu di bawah Pakatan Johor ialah Johor adil kepada semua dari aspek pembangunan ekonomi di setiap lokaliti dan daerah.
“Kami perlukan masa dalam tiga hingga enam bulan untuk membentangkan rancangan pembangunan Johor yang memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Johor dan akan dibentangkan oleh Menteri Besar.
“Selepas Persekutuan, Pulau Pinang dan Selangor, kejayaan kepimpinan PH itu akan diperluas di Johor ini, mencakupi pembangunan lebih mampan, dengan fokus memastikan seluruh kawasan direncana dengan pembangunan bermanfaat kepada rakyat.
“Dengan potensi yang ada, kita tidak mahu sekadar jadi feeder kepada negara jiran. Kita mahu jadikan Johor ini The Shenzhen of Southeast Asia, selain mewujudkan pembangunan negeri yang adil kepada semua,” katanya.
PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan 11 Julai sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
PH meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN. – 3 Julai, 2026
