HEADLINES

Sultan Selangor tidak perkenan solat Jumaat di surau kompleks beli-belah: MAIS

MAIS menegaskan ketetapan tersebut merupakan kuasa prerogatif Baginda Sultan bagi memastikan institusi masjid sedia ada terus diimarahkan sebagai pusat ibadah Utama

10:07 AM MYT

 

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tidak memperkenankan mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri ini diberikan kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin, berkata ketetapan itu dibuat selaras kuasa prerogatif baginda sebagai Ketua Agama Islam Selangor dalam menentukan hal ehwal pentadbiran agama Islam termasuk kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau musolla.

Beliau berkata, walaupun MAIS menyambut baik cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara, pelaksanaannya di Selangor tertakluk kepada peruntukan undang-undang negeri.

“MAIS mengambil maklum pendirian Kerajaan Persekutuan melalui kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berhubung cadangan mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara.

“Bagaimanapun, penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid, surau atau musolla tertakluk kepada kebenaran bertulis MAIS mengikut Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Sehubungan itu, MAIS dimaklumkan bahawa buat masa ini Baginda Sultan tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fasiliti sedia ada sudah mencukupi

Salehuddin menjelaskan bahawa ketetapan itu dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan yang digariskan sebelum ini. Kebenaran tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan usaha memakmurkan masjid, selain boleh mengurangkan jumlah jemaah kerana umat Islam mempunyai pilihan lain.

“Ketika ini terdapat 448 masjid dan 379 surau yang diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat di Selangor.

“Jumlah itu menunjukkan kemudahan sedia ada mencukupi dan mampu menampung keperluan umat Islam di negeri ini. Selain itu, terdapat juga masjid dan surau yang terletak berhampiran pusat beli-belah bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Beliau menambah, solat Jumaat mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam dan lebih sesuai dilaksanakan di premis yang khusus, berbanding surau pusat beli-belah yang lazimnya menjadi lokasi aktiviti perniagaan, hiburan, dan rekreasi. Malah, tempoh rehat pekerja juga disifatkan mencukupi untuk ke masjid berhampiran.

Isu kawalan dan pengurusan khutbah

Dari sudut pengurusan, pemberian kebenaran di pusat beli-belah memerlukan perhatian ketat terhadap pelantikan petugas seperti imam dan bilal agar mematuhi dasar MAIS.

“Jika petugas surau kebenaran solat Jumaat di pusat beli-belah tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyukarkan aspek pemantauan dan kawalan, termasuk memastikan pematuhan serta keseragaman pembacaan khutbah Jumaat yang disediakan MAIS,” katanya.

Beliau mendedahkan, ketika ini hanya ada sebuah surau di pusat beli-belah di Selangor yang diberikan kebenaran sementara atas faktor ketiadaan masjid berhampiran. Kebenaran itu bagaimanapun akan ditarik balik sebaik sahaja sebuah masjid baharu dibina kelak.

Mengakhiri kenyataan, Salehuddin menegaskan ketetapan Sultan Selangor ini adalah demi memperkukuhkan fungsi masjid sebagai pusat ibadah, ilmu, dan dakwah.

“MAIS menyeru seluruh umat Islam di Selangor supaya terus mengimarahkan masjid dan surau agar institusi itu kekal menjadi pusat perpaduan umat Islam,” katanya. – 8 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related