HEADLINES

PRN Johor: Kurang 24 jam menuju penentuan, calon gempur habis-habisan

Rata-rata calon daripada pelbagai parti tidak menunjukkan tanda-tanda keletihan sebaliknya mempamerkan lonjakan tenaga luar biasa menerusi siri ceramah berskala besar dan aktiviti turun padang bagi menambat hati pengundi saat akhir

9:11 AM MYT

 

JOHOR BAHRU – Calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 kini dalam fasa pecutan akhir untuk memuktamadkan misi memikat pengundi memandangkan tempoh berkempen hanya berbaki kurang 24 jam sebelum berakhir tepat tengah malam ini.

Meskipun fasa kempen sudah memasuki hari ke-14, rata-rata calon daripada pelbagai parti tidak menunjukkan tanda-tanda keletihan sebaliknya mempamerkan lonjakan tenaga luar biasa menerusi siri ceramah berskala besar dan aktiviti turun padang bagi menambat hati pengundi saat akhir.

Kehadiran pimpinan pusat turut menyuntik moral jentera antaranya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turun padang menerusi siri jelajah di tiga lokasi strategik termasuk di “kerusi panas” Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa di sini malam ini.

Sehubungan itu, calon PH bagi DUN Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik menerusi hantaran di Instagram mengajak pengundi untuk hadir ke program Grand Finale Harapan Johor Selatan yang dihadiri Perdana Menteri. 

“Orang Puteri Wangsa, pull up! Wajib datang Ceramah Finale malam ni, FOMO (fear of missing out) is real!” katanya.

Sementara itu, calon PH DUN Paloh Dr A. Ruban yang sebelum ini terpaksa berehat akibat faktor kesihatan, kini kembali bersemangat menggempur kawasan berkenaan bagi memastikan momentum sokongan tidak terjejas.

“Rehat sehari kerana rawatan, (namun) petang semalam saya kembali turun padang. Perjuangan untuk Paloh tidak akan terhenti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menerusi perkongsian di Facebook turut membantu kempen calon DUN Kemelah Mohd Afif Abd Hamid menerusi Konvoi Bermotor Jelajah Felda Redong yang disertai 120 penunggang motosikal.

Bagi menambah “tonik” di lapangan, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut melakukan pecutan akhir dengan mengadakan lawatan ke DUN Endau dan DUN Kempas bagi menyuntik semangat calon serta jentera gabungan itu.

Calon BN bagi DUN Machap yang juga Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi pula meneruskan jelajah kempen dengan menelusuri daerah-daerah terlibat selain memuat naik video pesanan di Instagram menyeru rakyat Johor agar memberikan mandat kepada BN, Sabtu ini.

Di DUN Larkin, calon BN Mohd Hairi Mad Shah memanfaatkan waktu yang berbaki dengan melaksanakan program Ziarah Kasih, pendekatan menyantuni pengundi secara peribadi bagi memohon mandat untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan berkenaan.

Perikatan Nasional (PN) pula memilih untuk mengadakan Ceramah Mega di Endau malam ini, yang menampilkan barisan pimpinan tertinggi termasuk Pengerusi PN Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi menyokong calon mereka, Hasnul Hakimi Hussien.

Bagi calon PN DUN Kahang Mazlan Bujang, beliau mengakui masih belum berpuas hati menyantuni warga kawasan berkenaan meskipun tempoh berkempen hampir ke penghujungnya.

“Tinggal lagi dua hari tempoh berkempen. Selagi masih ada waktu, saya akan terus turun padang kerana setiap pertemuan amat bermakna,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak ketinggalan mempergiat aktiviti menerusi Trak Jelajah Trak Bersama yang dihadiri calon DUN Kota Iskandar Sahrudin Omar manakala calon DUN Larkin Norsinah Abu pula mengadakan ceramah komuniti secara kelompok.

PRN Johor kali ini menyaksikan persaingan sengit melibatkan 172 calon bagi merebut 56 kerusi DUN, dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini. – 10 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Related