HEADLINES

Debaran keputusan rayuan Syed Saddiq terus terasa, mahkamah tangguh prosiding 15 minit

Dengan dua hakim berbeza pandangan perhatian kini tertumpu kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, di mana keputusannya akan menentukan sama ada Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya atau sebahagian daripada sabitannya dikembalikan

10:48 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Debaran keputusan rayuan akhir Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terus terasa apabila panel Hakim Mahkamah Persekutuan kini menangguhkan prosiding selama 15 minit sebelum bersidang semula.

Ia susulan perbezaan pandangan oleh panel hakim iaitu Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Dengan dua hakim berbeza pandangan terhadap tiga pertuduhan yang berbaki, perhatian kini tertumpu kepada panel hakim ketiga, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, di mana keputusannya menentukan sama ada Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya atau sebahagian daripada sabitannya dikembalikan.

Sequerah perlu memberikan undi penentu, lapor NST.

Menurut Abu Bakar, keputusan akhir bergantung kepada penghakiman Sequerah sebelum bertanya kepada pihak pendakwaan dan pembelaan sama ada mereka mahu meneruskan prosiding dengan segera.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam kanan Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq bersetuju dengan penangguhan singkat itu.

Terdahulu, Abu Bakar memutuskan bahawa sabitan Syed Saddiq bagi pertuduhan pertama bersubahat melakukan pecah amanah jenayah (CBT) melibatkan wang RM1 juta milik Armada Bersatu tidak boleh dikekalkan.

Jelasnya, tindakan mengeluarkan wang itu tidak dilarang di bawah perlembagaan Bersatu dan pihak pendakwaan gagal mengenal pasti dengan jelas perbuatan tidak jujur yang membentuk elemen pertuduhan bersubahat berkenaan.

Namun beliau tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung baki tiga pertuduhan yang melibatkan penyalahgunaan wang RM120,000 secara tidak jujur serta dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Beliau memutuskan wang RM120,000 yang dikumpulkan untuk kempen pilihan raya Syed Saddiq bukan milik peribadinya dan tiada bukti menunjukkan para penyumbang telah memberikan persetujuan untuk beliau menggunakan wang tersebut mengikut budi bicaranya sendiri.

Beliau mencadangkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan penyalahgunaan wang berkenaan, serta penjara enam bulan dan denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram, dengan hukuman penjara tambahan dua tahun sekiranya denda tersebut gagal dibayar.

Sebaliknya, Ruzima menolak rayuan pihak pendakwaan sepenuhnya dan menyatakan tiada kesilapan yang boleh dijadikan asas rayuan dalam keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada kesemua empat pertuduhan.

Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Nov 2023.

Pejabat Peguam Negara (AGC) kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan itu.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Syed Saddiq turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit. – 13 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

Fewer teams to compete in 2025 Mirnawan Cup as MHC tightens budget

Malaysian Hockey Confederation (MHC) president Datuk Seri Subahan Kamal says this year’s Mirnawan Cup will feature fewer foreign teams due to financial constraints, but insists the tournament’s quality and purpose remain intact

[UPDATED]Batu Caves escalator bid rejected due to application technicality, says S’gor exco

The application was made under the name of a private individual, says V.Papparaidu

KLIA drivers urge MOT to intervene over new airport access charges

E-hailing and p-hailing groups say MAHB’s trial system causes delays and penalises drivers

Related