KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bebas sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan pendakwaan.
Dua hakim dalam panel tersebut, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, masing-masing mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Sementara pengerusi panel berkenaan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Datuk Abu Bakar Jais, memberikan penghakiman yang berbeza.
Penghakiman hari ini dibacakan secara berasingan, dimulakan oleh Hakim Abu Bakar, diikuti Che Mohd Ruzima dan Sequerah.
@scoopdotmy Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bebas sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan pihak pendakwaan. Keputusan majoriti 2-1 itu mengekalkan penghakiman Mahkamah Rayuan pada Jun tahun lalu yang melepas dan membebaskan bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 33 tahun itu daripada empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
♬ original sound – Scoopdotmy
Selepas ketiga-tiga hakim selesai membacakan penghakiman masing-masing, Abu Bakar meminta Syed Saddiq tampil ke hadapan panel bagi menjelaskan keputusan yang diputuskan hari ini.
Menurut beliau, sabitan dan hukuman dicadangkannya bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat yang dihadapi Syed Saddiq tidak lagi berkuat kuasa berikutan dua lagi hakim memutuskan responden tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan.
“Itulah hak mereka sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dalam sistem keadilan kita. Saya juga ingin memaklumkan bahawa walaupun kami hakim, kami juga manusia biasa. Ada masanya kami sihat dan ada masanya kami tidak sihat.
“Apabila seorang hakim tidak sihat, penangguhan sesuatu kes boleh berlaku. Ia bukan sesuatu yang luar biasa atau belum pernah berlaku. Saya harap semua pihak dapat memahaminya,” katanya.
Keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan itu sepatutnya disampaikan pada 30 Jun lepas, namun ditangguhkan selepas Che Ruzima bercuti sakit.
Sementara itu, Abu Bakar berkata panel hakim turut mengikuti perkembangan yang berlaku di sekeliling mereka dan mengetahui responden mempunyai perancangan selepas keputusan hari ini.
“Kini setelah keputusan majoriti memihak kepada responden, saya berharap beliau dapat meneruskan perancangan tersebut dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Che Ruzima pula berkata sebagai hakim, mereka tidak boleh mempertahankan diri di khalayak ramai atau menjawab kenyataan mana-mana pihak dan turut menasihati pihak berkepentingan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.
“Dalam kes ini, keputusan sebenarnya telah pun tersedia untuk dibacakan. Namun, apabila ketiga-tiga hakim diarahkan menulis alasan penghakiman masing-masing dan seorang daripada mereka jatuh sakit, adakah wajar keadaan itu disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa (unprecedented)?
“Sebagai hakim, kami tidak boleh menjawab segala persepsi masyarakat atau mempertahankan diri di khalayak ramai. Oleh itu, pihak berkepentingan perlu memainkan peranan masing-masing secara bertanggungjawab. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Bahagian Pendakwaan Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin kerana mengambil pendirian neutral serta mendoakan kesihatan hakim yang tidak sihat itu,” katanya.
Sebaik sahaja ketiga-tiga hakim selesai menyampaikan penghakiman, ahli keluarga dan penyokong Syed Saddiq memberikan tepukan sebagai tanda sokongan.
Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Nov 2023.
Pejabat Peguam Negara (AGC) kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan itu.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Syed Saddiq turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Syed Saddiq turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit. – 13 Julai, 2026

