HEADLINES

Projek stesen baharu kereta api Seremban Sentral dijangka siap Mac 2027 : Loke

Loke berkata, stesen berkenaan direka dengan mengambil kira keperluan kapasiti jangka panjang

12:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Projek stesen baharu kereta api Seremban Sentral kini mencapai kemajuan 35 peratus dan dijangka siap pada Mac 2027, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Menurut Loke, apabila siap kelak, stesen tersebut mampu menampung sekitar 30,000 penumpang sehari dengan perancangan untuk dikembangkan daripada tiga kepada enam platform pada masa depan, sekali gus meningkatkan kapasiti sehingga 120,000 penumpang sehari.

Loke berkata stesen bernilai RM100 juta itu, yang akan diintegrasikan dengan Stesen Kereta Api Seremban yang berusia lebih satu abad, telah melepasi fasa pembinaan paling mencabar dan kerja-kerja kini akan dipercepatkan.

“Pada peringkat awal, kerja agak perlahan..ini kerana kerja piling itu memakan masa lama dan mereka perlu mendapat lokasi piling yang sangat tepat dan pendawaian, kabel dekat bawah tanah itu perlu dialihkan dan sebagainya, itu sebabnya kerja awalan memakan masa panjang.

“Selepas selesai, kerja pembinaan akan dipercepatkan termasuk pemasangan bumbung, struktur kaca dan kemasan lain..projek ini sangat mencabar, namun setelah lebih dua tahun, ia sudah masuk fasa yang mana piling sudah siap,” 

“Apabila stesen ini siap, kita akan dapat meningkatkan kekerapan perkhidmatan KTM Komuter dan ETS. Salah satu strategi kita ialah menggalakkan lebih ramai orang tinggal di Seremban sambil berulang-alik ke Lembah Klang menggunakan pengangkutan rel,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak projek itu di Seremban, hari ini.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata stesen baharu itu direka berkonsepkan bangunan hijau dengan elemen seni bina berinspirasikan Minangkabau serta dilengkapi ruang komersial baharu.

Beliau berkata stesen itu turut menyediakan dua laluan masuk dan kawasan menurunkan penumpang, masing-masing di bahagian hadapan Jalan Tunku Antah dan bahagian belakang stesen bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Ini adalah stesen yang sangat signifikan, projek penting untuk Kementerian Pengangkutan dan warga Seremban sekali gus menjadi mercu tanda baharu di Bandar Seremban. Selepas ini sudah tentu ia juga akan mengintegrasikan projek pembangunan mega berorientasikan transit (TOD) Seremban Sentral di belakang stesen ini,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata projek baik pulih Stesen KTMB Seremban telah siap sepenuhnya sejak bulan lepas dengan kerja konservasi melibatkan naik taraf pendawaian serta sistem elektrikal yang lebih moden bagi memastikan bangunan warisan berkenaan terus selamat dan berfungsi dengan baik.

Beliau berkata pihaknya turut melaksanakan skop tambahan membabitkan pembinaan sistem pembetungan baharu bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sebelum ini menjejaskan operasi stesen berkenaan.

Katanya, pembetung baharu itu akan mengalirkan air hujan terus ke Sungai Temiang tanpa melalui kawasan stesen sekali gus mengelakkan platform dan landasan ditenggelami air apabila hujan lebat.

Sementara itu, beliau berkata projek menaik taraf Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) kini mencecah kemajuan 55.8 peratus.

Loke berkata pengurangan kekerapan perkhidmatan komuter pada waktu tengah hari ketika ini adalah bagi membolehkan kerja pembinaan dilaksanakan dengan lebih pantas selepas salah satu landasan ditutup sementara untuk tujuan pembinaan. – 21 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Related