HEADLINES

SPRM panggil 10 pegawai kanan KWAP, MOF beri keterangan kes pelaburan RM163 juta dalam eFishery

SPRM turut mengenal pasti beberapa pihak di luar negara untuk dipanggil membantu siasatan

6:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan 10 saksi terdiri daripada pegawai kanan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi membantu siasatan kes dana pelaburan RM163 juta dalam syarikat pemula teknologi akuakultur, eFishery di Indonesia

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kesemua mereka terlibat dalam proses membuat keputusan terhadap pelaburan tersebut dan dipanggil memberikan keterangan sejak Isnin.

“Siasatan dimulakan oleh SPRM terhadap pelaburan yang dibuat oleh KWAP terhadap sejenis alat pemberi makan ikan dan udang pintar yang dikenali sebagai Smart Feeder dan dikeluarkan oleh eFishery Pte Ltd.

“Penyiasatan bermula pada 17 Julai dan pada 20 Julai, pasukan siasatan SPRM memasuki premis KWAP bagi memulakan proses penyiasatan secara rasmi dengan proses siasatan secara menyeluruh.

“Keterangan saksi dimulakan sejak 21 Julai dan setakat semalam, rakaman percakapan 10 saksi itu telah selesai serta dimuktamadkan.

“Pihak kami juga menjangkakan lebih ramai lagi saksi akan dipanggil termasuk mereka yang menganggotai Jawatankuasa Kewangan dan semua ahli Panel Pelaburan KWAP yang terlibat dalam proses pelaburan tersebut serta dokumen yang perlu diberikan penelitian .

“Ia merupakan penyiasatan awal dan di peringkat ini pegawai penyiasat sedang mengkaji keterangan-keterangan tersebut serta meneliti segala dokumen yang berkaitan dengan proses pelaburan itu,’’ katanya

Beliau berkata demikian menerusi klip video pendek yang dimuatnaik dalam akaun TikTok rasmi SPRM hari ini.

MOF sebelum ini, dalam jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan KWAP menjadi mangsa penipuan yang dirancang berkaitan pelaburan tersebut susulan manipulasi penyata kewangan syarikat Indonesia itu oleh pihak pengurusannya.

KWAP dilaporkan telah melabur sebanyak AS$47.7 juta dalam eFishery pada Julai 2023.

Tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh sebuah mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas disabitkan bersalah atas kesalahan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Dalam pada itu, Ab Halim berkata, SPRM turut mengenal pasti beberapa pihak di luar negara untuk dipanggil membantu siasatan dan bagi tujuan itu, suruhanjaya terbabit akan mengemuka permohonan Mutual Legal Assistance in Criminal Matters (MACMA) kepada Jabatan Peguam Negara.

Permohonan itu, katanya bertujuan mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi yang berada di luar negara.

Beliau memberitahu, fokus siasatan SPRM merangkumi kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan juga penyelewengan di mana kesalahan itu termaktub di bawah Akta SPRM 2009, selain memfokus kepada isu tata kelola yang merangkumi aspek prosedur iaitu kewangan, perundangan serta proses membuat keputusan.

“Penelitian dan penekanan di dalam proses penyiasatan ini adalah antaranya kertas cadangan awal pelaburan, kertas cadangan akhir, laporan site visit terhadap projek tersebut di samping semua minit-minit mesyuarat yang berkaitan dengan eFishery dan juga laporan due diligence yang telah dilakukan serta dokumen tatacara pelaburan dan dokumen kewangan KWAP, ’’ katanya.

Tambahnya, proses siasatan baru bermula dan berjalan justeru terlalu awal untuk memberikan maklum balas.

Ujar beliau, proses penyiasatan akan mengambil masa dan beliau telah mengarahkan pasukan siasatan melakukan penyiasatan secara terperinci dari semua aspek dan penjuru. – 23 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

RM4,000 grant to scrap old car, buy new Proton, Perodua

Under Budget 2026, government and national car makers to provide the grant to ensure better road safety

Related