HEADLINES

Laporan RCI dedah kelemahan tadbir urus, pengaruh politik dalam pengurusan TH

Siasatan terhadap pengurusan dana jemaah haji bagi 2014-2020 mengenalpasti kelemahan dalam pemantauan, membuat keputusan dan kerangka undang-undang

9:08 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kelemahan tadbir urus, termasuk dakwaan campur tangan politik dalam pengurusan Tabung Haji (TH) serta keputusan berkaitan pengagihan keuntungan, antara dapatan utama Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap operasi dana jemaah haji itu antara tahun 2014 dan 2020.

Laporan RCI yang dikeluarkan pada malam Rabu mendapati penglibatan politik dalam pentadbiran TH dari tahun 2014 hingga 2018 menyumbang kepada kebimbangan awam, terutamanya ketika persaingan politik yang semakin sengit dalam tempoh berkenaan, lapor Bernama.

Suruhanjaya itu berkata keadaan sedemikian membolehkan pihak tertentu menggunakan keputusan TH sebagai ‘modal’ politik, sekali gus menjejaskan keyakinan awam dan reputasi institusi berkenaan.

“Terdapat beberapa keputusan TH, seperti pembayaran pengagihan keuntungan (hibah), penentuan caj haji, dan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS), yang didorong oleh unsur-unsur politik,” kata laporan itu.

Laporan itu turut mengenalpasti kelemahan dalam Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) apabila perundangan tersebut tidak lagi selaras dengan keperluan semasa kerana ia memberi kuasa yang terlalu luas kepada menteri yang mengawasi hal ehwal haji, dana dan pelaburan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan laporan RCI setebal 211 muka surat berhubung pengurusan dan operasi TH malam tadi menerusi laman web rasminya.

Laporan yang diterbitkan dalam format PDF itu mengandungi ringkasan eksekutif, empat bab utama dan senarai eksibit berkaitan siasatan berkenaan. Ia turut merangkumi dapatan serta syor suruhanjaya yang bertujuan memperkukuh tadbir urus dan operasi TH, yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

RCI enam anggota itu dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif. Anggotanya termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman dan pengasas Kumpulan RHB Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Pesuruhjaya lain ialah bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) Prof Dr Asmadi Mohamed Naim, dan akauntan bertauliah Norsyahrin Hamidon.

Datuk Hakimah Mohd Yusoff, yang ketika itu merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, bertindak sebagai setiausaha RCI berkenaan.

Pesuruhjaya-pesuruhjaya berkenaan telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 20 Jan 2022, dengan mandat enam bulan yang berakhir pada 19 Julai tahun yang sama.

Menurut laporan itu, siasatan menggunakan empat kaedah: menyemak rekod dan dokumen, menerima taklimat daripada agensi, memperoleh akuan berkanun daripada saksi, dan menjalankan prosiding suruhanjaya.

“Suruhanjaya mengenalpasti 45 saksi yang boleh membantu siasatan dan merekodkan keterangan mereka menerusi Akuan Berkanun, manakala 16 daripada mereka dipanggil untuk memberi keterangan semasa prosiding tertutup di Kompleks Islam Putrajaya,” kata laporan itu.

Antara yang memberi keterangan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, bekas pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Tan Sri Md Nor Md Yusof, serta bekas ketua pegawai eksekutif TH Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

Terma rujukan RCI merangkumi perkara berkaitan TH antara tahun 2014 dan 2020, berdasarkan dapatan daripada PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, manakala pelan pemulihan dan penstrukturan semula yang sedang berjalan tidak termasuk dalam skop berkenaan.

Suruhanjaya itu juga ditugaskan untuk meneliti dokumen dan bukti bagi menentukan sama ada maklumat telah disembunyikan atau kenyataan yang mengelirukan telah dibuat, serta mengesyorkan tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

Laporan tersebut terbahagi kepada empat bab yang merangkumi pengenalan siasatan, latar belakang pengurusan dan operasi TH, dapatan serta syor suruhanjaya, dan kesimpulan yang menggariskan 25 cadangan penambahbaikan.

Jemaah Menteri bersetuju dengan penubuhan RCI pada 14 Julai 2021 di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, dengan objektif dan terma rujukannya dimuktamadkan pada 8 Oktober tahun berkenaan. – 30 Julai 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related