◉ HEADLINES

Amal ‘perakaunan kreatif’ punca agihan hibah TH cecah RM2.75b melampaui kemampuan: RCI

Laporan siasatan mendapati JAN gagal menegur bayaran hibah tinggi dari 2014 hingga 2017 yang menyusutkan rizab kewangan TH

10:46 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan 4.50 peratus dan hibah haji 1.75 peratus bernilai RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menerusi Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam tadi, keghairahan TH membayar hibah tinggi melampaui kemampuan kewangan sepanjang tempoh 2014 hingga 2017 menjadi antara faktor utama krisis kewangan agensi itu.

RCI turut mendapati pengurusan TH ketika itu menggunakan amalan “perakaunan kreatif” bagi membolehkan pengisytiharan hibah yang tinggi dibuat.

Meskipun laporan audit 2017 memuatkan perincian Emphasis of Matter, penyata kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017 tetap menerima Sijil Audit Bersih.

Jabatan Audit Negara dikritik

Mengenai pengauditan penyata kewangan 2017, RCI menegaskan Jabatan Audit Negara (JAN) sepatutnya tidak mengeluarkan Sijil Audit Bersih kerana isu dalam Emphasis of Matter sepatutnya diklasifikasikan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan itu menandakan Ketua Audit Negara mempertimbangkan perkara di luar skop audit, sekali gus mencerminkan JAN kurang tegas dalam mengaudit akaun badan berkanun berkenaan. Selain itu, JAN turut gagal menegur TH berhubung pembayaran hibah berlebihan sepanjang tempoh 2014 hingga 2017.

Risiko pengeluaran beramai-ramai

Menurut laporan itu, pembayaran hibah yang begitu pemurah sebelum 2018 telah mengikis dan menyusutkan rizab TH secara drastik.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” kata RCI.

Risiko berkenaan terbukti berlaku pada 2019 selepas pengumuman hibah rendah pada kadar 1.25 peratus mencetuskan kemerosotan jumlah deposit.

“Saiz deposit TH menurun daripada kira-kira RM73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tegas laporan itu.

RCI menegaskan JAN sepatutnya bertindak membuat teguran tegas terhadap mana-mana pengisytiharan hibah yang bertentangan dengan kemampuan kewangan sebenar TH. – 30 Julai, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Worrying number of youth spending 18 hours on social media daily: MCMC 

The Malaysian Communications and Multimedia Commission has drawn attention to the substantial number of young individuals who spend extended periods online, expressing concerns about harmful aspects of specific social media platforms. 

◉ Related