KUALA LUMPUR – Juruterbang Malaysia yang ditahan atas dakwaan menyeludup dadah ke Indonesia, dipercayai memperoleh bekalan bahan berkenaan di Ampang sebelum berlepas ke Kota Kinabalu dan Jakarta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media hari ini berkata, suspek telah mendaftar bagasinya pada awal pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Suspek dipercayai ambil dadah dari sebuah apartment di Ampang, sebelum early check in bagasinya di KLIA. Dia kemudian ada flight ke Kota Kinabalu pagi itu, sebelum pulang semula ke KLIA dan berlepas ke Jakarta pada malam.
“Polis turut berjaya mengesan nombor telefon yang digunakan suspek untuk berhubung dengan sindiket berkenaan. Siasatan kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian pengedaran dadah tersebut,” lapor media.
Pada 28 Julai lalu, juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun itu ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas pihak berkuasa Indonesia menemui 15 bungkusan yang mengandungi 70,114 biji pil ekstasi dan syabu di dalam bagasinya.
Semalam, Pasukan Kastam dan Eksais Indonesia mengeluarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan pergerakan seorang juruterbang warga Malaysia yang ditahan minggu lalu kerana didakwa cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram pil ekstasi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Video yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi Bea Cukai pada Isnin menunjukkan suspek yang berusia 39 tahun itu, yang memakai seragam juruterbang, mengambil sebuah bagasi besar berwarna perak jenis hard-shell dari karusel bagasi sambil menarik sebuah lagi bagasi berwarna hitam.
Suspek kemudian dilihat berjalan melalui balai ketibaan menuju ke kawasan pemeriksaan kastam untuk proses pelepasan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, polis telah mengenal pasti seorang individu yang merupakan kakitangan lapangan terbang yang terlibat dalam proses pemeriksaan keselamatan. Beliau memberitahu, individu terbabit akan dipanggil untuk dirakam keterangan atau ditahan sekiranya perlu.
“Individu berkenaan merupakan antara petugas yang terlibat membuat saringan di KLIA, kita akan panggil dia untuk soal siasat dan kalau ada keperluan kita akan buat tangkapan,” katanya.
Mengulas mengenai prosedur pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memberitahu, semua kru penerbangan dan juruterbang menjalani pemeriksaan keselamatan yang sama seperti penumpang biasa.
“Prosedur di KLIA melibatkan beberapa peringkat pemeriksaan. Jika sesuatu barangan melepasi sistem imbasan automatik di peringkat pertama, ia tidak akan melalui pemeriksaan peringkat kedua. Bagaimanapun, jika imbasan awal mengesan sesuatu yang mencurigakan, ia akan dirujuk ke pemeriksaan peringkat kedua dan, jika perlu, ke peringkat ketiga.
“Seperti yang dijelaskan dalam sidang media di KLIA semalam, suspek telah melalui semua prosedur pemeriksaan yang ditetapkan, termasuk pemeriksaan Peringkat Satu. Oleh kerana imbasan awal tidak mengesan sebarang unsur mencurigakan, bagasinya dibenarkan melepasi pemeriksaan. Itulah prosedur standard di KLIA,” katanya.
Mengenai pergerakan juruterbang itu pada hari penahanannya, Hussein berkata suspek mendaftar masuk bagasinya pada awal hari sebelum menerbangkan penerbangan domestik ke Kota Kinabalu dan kembali semula, sebelum menaiki penerbangan dari Sepang ke Jakarta.
Hussein Beliau berkata polis turut menyiasat bagaimana suspek berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang di Malaysia serta bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan kaitan suspek dengan sindiket pengedaran dadah serantau. – 4 Ogos, 2026
