KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dan Umno tidak akan berkompromi jika mana-mana pihak didapati terlibat pecah amanah atau salah tadbir Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurut Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jika benar terdapat individu atau kumpulan terlibat menyeleweng atau melakukan salah tadbir dalam organisasi kerajaan dan badan berkanun, mereka perlu menerima akibatnya.
“Maka akibatnya akan dihadapi mereka dan saya tidak fikir kita harus berkompromi jika unsur-unsur yang negatif itu dilakukan oleh mereka,” katanya, lapor Bernama.
Semalam bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, Umno perlu mengakui kelemahan dalam tadbir urus di Lembaga Tabung Haji (TH) ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) antara tahun 2014 hingga 2017, seperti yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Khairy berkata beliau memahami pendirian beberapa pemimpin Umno susulan pendedahan dapatan RCI, termasuk penafian mereka terhadap sebarang salah laku atau rasuah dalam pengurusan TH, khususnya ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Bagaimanapun, katanya, pendirian sedemikian tidak memadai, lebih-lebih lagi ketika Umno berusaha menampilkan imej sebagai sebuah parti yang sedang menjalani proses reformasi.
“Saya tidak mengharapkan mereka mengambil pendirian seperti saya ketika kempen pilihan raya. Mungkin semasa kempen pilihan raya, kita perlu mengatakan tiada penyelewengan berlaku, bahawa kita memberikan hibah yang lebih tinggi serta mengekalkan subsidi haji untuk jemaah muassasah dan sebagainya.
“Bagaimanapun, apa yang saya mahu lihat sekarang, mungkin menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) minggu depan, ialah sudah tiba masanya untuk Umno bersikap jujur mengenai perkara ini dan mengakui bahawa memang wujud kelemahan dalam aspek tadbir urus, katanya.
Pada 11 Ogos ini, sesi persidangan khas untuk membahaskan dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH akan diadakan di Parlimen.
Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.
RCI itu menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020, juga mendapati wujud transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat. – 6 Ogos, 2026
