◉ HEADLINES

Tiga anggota polis maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Beaufort

Kejadian berkenaan tular di media sosial menerusi beberapa rakaman video yang memaparkan tiga individu terbaring di atas jalan manakala orang awam dan beberapa individu lain dilihat berada di lokasi kejadian

8:57 PM MYT

 

KOTA KINABALU – Tiga anggota polis lelaki maut dipercayai akibat renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, Beaufort petang tadi.

Kejadian berkenaan tular di media sosial menerusi beberapa rakaman video yang memaparkan tiga individu terbaring di atas jalan manakala orang awam dan beberapa individu lain dilihat berada di lokasi kejadian.

Menurut maklumat awal Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.56 petang tadi.

Susulan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort menggerakkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer daripada balai berkenaan.

“Menurut laporan awal, bomba menerima maklumat tiga mangsa terkena renjatan elektrik di Jalan Weston, Kampung Weston sebelum pasukan dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan operasi diketuai Komander Operasi PBK I Irwan Abdul dengan bantuan Polis Diraja Malaysia dan Sabah Electricity.

Maklumat lanjut berhubung identiti mangsa serta punca kejadian masih dalam siasatan dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, PGO JBPM Sabah dalam kemas kini terbaharu memaklumkan anggota polis yang maut dalam kejadian berkenaan dikenal pasti sebagai Chiu Teck Siong, 40, Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Muhammad Raimi Ismarubee, 26.

Siasatan awal mendapati mangsa cuba menjolok buah kelapa menggunakan penjolok besi, namun penjolok itu terkena kabel elektrik yang terletak berhampiran.

“Pasukan daripada Sabah Electricity berjaya memotong bekalan elektrik di kawasan kejadian pada 6.45 petang. Mayat diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi ditamatkan pada 7.45 malam selepas bomba memastikan tiada lagi sebarang bahaya di lokasi kejadian. – 6 Ogos, 2026

Topics

 

◉ Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Malaysia pulls the plug on Kuwaiti Hornet deal after years of turbulence

RMAF walks away from costly, outdated aircraft amid rising concerns over integration, support, and long-term value

◉ Related