HEADLINES

Penyertaan Ronnie Liu lonjak aspirasi PBM luaskan pengaruh politik nasional

Pengalaman luas bekas Exco Selangor itu dijangka membantu PBM mempertajam dasar-dasar negara dan meluaskan tapak politiknya di Semenanjung

2:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengekalkan pendirian terbuka berhubung penyertaan dalam pilihan raya negeri akan datang mahupun Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), selain tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dengan gabungan politik lain.

Langkah itu dimaklumkan susulan keputusan ahli politik veteran, Ronnie Liu, menyertai parti berkenaan secara rasmi hari ini.

Presiden PBM, Datuk Larry Sng Wei Yik berkata, parti itu akan mengadakan perbincangan dalaman terlebih dahulu bagi memperkemas perlembagaan serta hal tuju dasar sebelum membuat sebarang keputusan mengenai strategi pilihan raya mahupun pakatan politik.

Presiden PBM, Datuk Larry Sng Wei Yik. – Gambar Scoop, 9 Ogos, 2026

“Hari ini merupakan hari pertama kemasukan Ronnie Liu ke dalam PBM. Saya percaya selepas ini kita akan mengadakan pelbagai perbincangan dalaman untuk meneliti bagaimana kita boleh menambah baik bukan sahaja perlembagaan parti, tetapi juga dasar-dasar negara untuk masa hadapan,” katanya dalam sidang media di Kuchai Lama.

Larry, yang juga Ahli Parlimen Julau, menegaskan PBM akan terus fokus memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat tanpa mengira kawasan bandar mahupun luar bandar serta latar belakang kaum.

Menurut beliau, penyertaan Liu memberi platform yang lebih mantap buat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran itu untuk menyuarakan aspirasi masyarakat secara lebih meluas di peringkat nasional.

“Sama ada kita akan bertanding dalam pilihan raya akan datang atau tidak, itu adalah perkara yang akan diputuskan apabila hampir dengan tempoh pilihan raya nanti,” jelas Larry.

Beliau menambah, PBM kekal terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai entiti politik lain termasuk Umno dan Pakatan Harapan (PH) menerusi persefahaman atau pakatan pilihan raya.

“Perkara ini perlu dibincangkan secara dalaman terlebih dahulu. Sudah tentu kita boleh meneroka pelbagai kemungkinan melalui jawatankuasa pilihan raya,” katanya.

Ahli politik veteran, Ronnie Liu secara rasminya menjadi anggota Parti Bangsa Malaysia (PBM). – Gambar Scoop, 9 Ogos, 2026

Bawa politik baharu, utamakan tadbir urus

Sementara itu, Ronnie Liu memaklumkan tumpuan utamanya di dalam PBM adalah untuk memperkasakan rangkaian akar umbi dan meluaskan pengaruh parti, terutamanya di Semenanjung Malaysia.

“Kita akan meluangkan lebih banyak masa untuk membina bahagian-bahagian parti dan mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak. Kita juga akan mengadakan kunjungan ke atas NGO, parti politik serta media untuk memastikan masyarakat sentiasa dimaklumkan mengenai dasar dan aktiviti kita,” katanya.

Mengulas keputusannya menyertai PBM, bekas Exco Selangor itu menegaskan bahawa landskap politik negara memerlukan pendekatan baharu yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat.

“Saya percaya Malaysia berhak mendapat politik yang lebih baik. Saya masih yakin ahli politik generasi saya mempunyai tanggungjawab untuk terus menyumbang pengalaman kepada negara. Politik pada akhirnya mesti kembali berkhidmat untuk rakyat,” ujar Liu.

Tambah Liu, fokus utama PBM juga merangkumi reformasi tadbir urus tempatan, pemodenan pentadbiran awam, pembangunan belia, serta memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dirasai secara nyata oleh rakyat marhaen.

“Rakyat biasa tidak tinggal di dalam statistik KDNK. Rakyat hidup di dalam rumah, pasar tempatan, sekolah, hospital dan tempat kerja mereka.

“Jika ekonomi negara terus berkembang tetapi kehidupan rakyat biasa menjadi semakin sukar, maka pertumbuhan itu adalah tidak lengkap dan tidak bermakna,” tegasnya.

Terdahulu, Larry menegaskan bahawa perluasan pengaruh PBM ke Semenanjung Malaysia bukan semata-mata bertujuan membesarkan struktur organisasi parti, tetapi untuk memperkukuh keupayaan parti itu dalam menyumbang kepada tadbir urus negara.

Menurut pihak parti, PBM bakal memberikan tumpuan khusus kepada beberapa agenda reformasi utama merangkumi tadbir urus nasional, pemodenan kerajaan tempatan, kesejahteraan ekonomi, pembangunan belia, serta pembentukan sistem pentadbiran awam yang lebih profesional dan telus.

Dengan penyertaan Ronnie Liu dalam barisan kepimpinan utamanya, PBM kini berusaha meluaskan tapak politiknya di Semenanjung Malaysia, meskipun strategi pilihan raya serta bentuk pakatan politik yang bakal dibentuk masih belum dimuktamadkan. – 9 Ogos, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related