KUALA LUMPUR – Kemesraan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik perhatian ramai, selepas pelbagai spekulasi berhubung hubungan kedua-duanya dalam Kerajaan Perpaduan.
Pada majlis ‘Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak : “Arkitek Pembangunan Negara Bangsa” di Memorial Tun Abdul Razak hari ini, kedua-duanya berbual secara santai dan turut ketawa.
Ia sekali gus menutup dakwaan wujudnya ketegangan antara Anwar dengan Zahid.
Pada Ahad, Zahid berkata hubungannya dengan Perdana Menteri seperti biasa malah kedudukannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini kekal di sebelah Anwar.
“Saya tidak ada sebarang masalah dengan Perdana Menteri.
“Tidak ada sebarang permasalahan di antara kami ketika berada dalam mesyuarat Kabinet ataupun dalam majlis atau acara rasmi,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal berita memetik sumber yang mendakwa hubungan antara Anwar dan Zahid semakin tegang berikutan beberapa isu termasuk keputusan Barisan Nasional (BN) menentang Pakatan Harapan (PH) pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN).
PRN terbabit ialah Johor dan Negeri Sembilan yang diadakan baru-baru ini.
Portal berkenaan memetik sumber yang mendakwa ia dipengaruhi oleh tekanan daripada DAP supaya reformasi institusi dilaksanakan menjelang akhir tahun di sebalik Anwar, selaku Perdana Menteri dan perlu mendapatkan sokongan blok Zahid mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebelum pindaan perlembagaan dapat dibuat.
Mengulas mengenai DAP, Zahid turut memberitahu hubungannya dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook selaku Menteri Pengangkutan juga amat baik dalam Kabinet.
“Mesyuarat habis seperti biasa iaitu pukul 1 tengah hari, tidak seperti yang dilaporkan.
“Saya duduk sebelah dia lah (Anwar), sebelah kanan Perdana Menteri. Kemudian di sebelah saya juga Anthony Loke, Menteri Pengangkutan,” katanya. – 8 September, 2026
