KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mendakwa beliau telah dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Berikutan itu, Ismail telah membuat laporan polis pada jam 6 petang semalam, bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Merujuk kepada isu dokumen Surat Cara Proklamasi yang tular dalam kenyataan media pada malam 8 September 2026, saya ingin menjelaskan bahawa Surat Cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress).
“Kerajaan Negeri berpendirian Surat Cara tersebut adalah tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Oleh itu, ia adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail turut memaklumkan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang bersidang semalam juga antara lain membincangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pendamai sebagai wadah untuk mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan serta perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara.
“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat,’’ katanya.
Pada Ahad, empat Undang, Tunku Besar Tampin dan Dato Shahbandar Sungai Ujong mendakwa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, telah menandatangani proklamasi bagi melaksanakan penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada 3 Ogos lalu.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan itu, mereka mendakwa Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar bersama mereka telah menerima menghadap Ismail di Istana Laguna Biru, Port Dickson, pada tarikh berkenaan.
Bagaimanapun Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah, menegaskan proklamasi yang didakwa ditandatangani Ismail untuk menurunkan baginda adalah tidak sah dan tidak boleh berkuat kuasa.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Muhammad Faris berkata keputusan itu selaras dengan pendirian Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang bersidang pada 31 Julai di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Menurutnya, sidang tersebut telah memuktamadkan bahawa pengisytiharan bertarikh 19 April 2026 berhubung penurunan Tuanku Muhriz tidak mempunyai kesan undang-undang dan tidak boleh digunakan kerana didakwa tidak memenuhi syarat Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. – 9 September, 2026
