KUALA LUMPUR – Adalah tidak tepat untuk menyatakan seseorang pesalah mesti menjalani sepenuhnya hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah tanpa mengambil kira mekanisme lain yang sah di sisi undang-undang, kata Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Sambil menyifatkan pendirian Majlis Sekretarian Pakatan Harapan (PH) berhubung pengampunan tidak menggambarkan keseluruhan kerangka undang-undang dan Perlembagaan negara, Wee berkata, untuk apa diwujudkan sistem remisi, parole, Lembaga Pengampunan dan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan jika semua hukuman mahkamah mesti dijalani sepenuhnya tanpa sebarang kemungkinan pengurangan, pelepasan atau pengampunan.
Sedangkan, kata beliau, kuasa pengampunan ialah satu kuasa Perlembagaan yang berasingan dan sah termasuk parol.
“Dalam sistem keadilan Malaysia, terdapat beberapa fungsi yang berbeza. Mahkamah menentukan sama ada seseorang itu bersalah dan menjatuhkan hukuman.
“Pihak eksekutif pula mentadbir pelaksanaan hukuman mengikut undang-undang termasuk melalui mekanisme seperti remisi dan parol.
“Pada masa yang sama, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan, penangguhan dan peringanan hukuman kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja/Yang di-Pertua Negeri mengikut bidang kuasa masing-masing,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wee, dalam kes berprofil tinggi melibatkan bekas Menteri Sabah, Peter Anthony, yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun pada Mac 2025, beliau telah diberikan parol selepas kira-kira setahun dan dibenarkan pulang ke rumah pada Mac 2026 melalui mekanisme di bawah pentadbiran Kementerian Dalam Negeri.
“Ketika itu, tidak pula kedengaran bantahan besar daripada PH bahawa beliau (Peter) yang dilihat cenderung kepada PH, wajib menjalani keseluruhan hukuman tiga tahun di dalam penjara.
“Justeru, prinsip yang sama mesti digunakan secara konsisten.
“Kedaulatan undang-undang bukan bermaksud kita hanya menghormati keputusan mahkamah tetapi mengetepikan mekanisme lain yang turut diperuntukkan oleh undang-undang dan Perlembagaan,’’ katanya.
Jelasnya, jika mahu mempertahankan institusi negara maka badan kehakiman, undang-undang yang dilaksanakan oleh pihak eksekutif serta kuasa pengampunan yang diperuntukkan kepada Raja-Raja perlu dihormati sepenuhnya.
“Jangan apabila sesuatu keputusan memihak kepada pihak yang kita suka, kita panggil ia “rule of law”, tetapi apabila mekanisme Perlembagaan digunakan terhadap pihak yang kita tidak suka, kita tiba-tiba mempertikaikannya,’’ katanya.
Pada Selasa, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataannya berkata mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa terutama melibatkan kes berprofil tinggi perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman ditetapkan mahkamah.
Menurutnya, prinsip kedaulatan undang-undang juga menuntut supaya proses kehakiman yang sedang berjalan pula diberikan ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa proses tersebut telah didahului oleh pertimbangan lain.
Bagaimanapun Umno membidas PH berhubung pendiriannya mengenai isu pengampunan, dengan menegaskan bahawa kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan tidak seharusnya dipersoalkan.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata demikian susulan laporan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, merupakan antara 155 kes yang dijangka dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan apabila ia bersidang pada 11 September.
Najib, yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan kini menjalani hukuman di Penjara Kajang bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – 10 September, 2026
