KUALA LUMPUR – Polis menerima dua laporan berhubung isu dokumen Surat Cara Proklamasi, yang didakwa ditandatangani oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim secara tanpa rela dan paksaan.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, polis akan mengklasifikasikan kes berkenaan bagi menentukan hala tuju serta skop siasatan yang sewajarnya susulan laporan yang dibuat oleh Ismail.
“Saya boleh sebut ada dua laporan polis dibuat oleh Menteri Besar … menjadi kewajipan kita apabila menerima satu laporan, kita akan klasifikasikanlah tentang predikat dan hala tuju siasatan.
“Saya serahkan kepada PDRM untuk kendalikan aduan itu,” katanya, lapor Bernama.
Saifuddin Nasution berkata pihak polis bertanggungjawab menjalankan siasatan secara profesional mengikut saluran undang-undang sedia ada.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati semua lapisan masyarakat supaya sentiasa menghormati lunas hukum dan tidak membuat sebarang andaian yang boleh mengganggu proses siasatan mahupun ketenteraman awam.
Ismail sebelum ini dilaporkan mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen berkenaan sebelum membuat laporan polis pada 8 September lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.
Media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dakwaan itu perlu disahkan peguam yang hadir ketika proses penandatanganan itu berlaku bagi mengesahkan perkara berkenaan.
Presiden Umno itu turut berkata parti berkenaan tidak akan campur tangan, sebaliknya menghormati sepenuhnya institusi diraja, undang dan adat di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dakwaan Ismail Lasim bahawa beliau dipaksa menandatangani dokumen proklamasi menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan perlu diserahkan kepada polis untuk siasatan.
Sebarang ulasan, katanya, berhubung dakwaan terbabit tidak wajar dibuat ketika pihak polis mungkin telah membuka kertas siasatan bagi meneliti maksud paksaan (duress) dan pengaruh tidak wajar (undue influence) dalam dakwaan itu.
“Bagi saya yang pertama, apabila dakwaan melibatkan unsur paksaan atau pengaruh tidak wajar, kita serahkan kepada pihak polis untuk siasat.
“Kita tidak seharusnya memberikan komen kerana mungkin polis sudah buka fail, jadi biar polis yang menyiasat maksud paksaan dan pengaruh tidak wajar itu,” katanya. – 15 September, 2026
