HEADLINES

Jana Wibawa: Pendakwaan tutup kes Muhyiddin, 29 saksi beri keterangan

Enam saksi pendakwaan itu antaranya bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad dan ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad

8:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa atas tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta berkaitan projek Jana Wibawa, hari ini menutup kesnya selepas memanggil 29 saksi.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin selepas saksi terakhir iaitu Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mazery Mohd Zaini, selesai memberi keterangan.

“Pihak pendakwaan menutup kes selepas tiada lagi saksi yang perlu dipanggil untuk memberi keterangan dan enam saksi pendakwaan ditawarkan kepada pihak pembelaan,” kata Wan Shaharuddin.

Enam saksi pendakwaan itu antaranya bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad dan ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad.

Hakim Noor Ruwena kemudian menetapkan pada atau sebelum 25 Nov bagi pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis manakala hujahan lisan pihak pendakwaan pada 26 Nov serta 1 hingga 3 Dis bagi hujahan lisan pembelaan.

Pada prosiding hari ini, Muhyiddin diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Amer Hamzah Arshad, Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani.

Perbicaraan kes itu bermula 9 Mac lepas dan antara saksi pendakwaan yang memberi keterangan ialah bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Pengarah Syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd Datuk Seri Azman Yusoff, Pengasas Nepturis Sdn Bhd Lian Tan Chuan dan Pengarah Urusan Syarikat Mamfor Sdn Bhd Shahradzi Shamsuddin.

Muhyiddin, 79, berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti Bersatu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman Yusoff berkaitan Projek Jana Wibawa.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, mahkamah melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak akan meneruskan kes terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu yang berkaitan dengan Bukhary Equity Sdn Bhd.

Sementara itu, Muhyiddin ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata beliau bersyukur selepas dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah daripada empat pertuduhan berkenaan.

“Saya lega dengan keputusan itu kerana sejak awal lagi saya berpendirian tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapi sejak Mac 2023.

“Saya ucapkan terima kasih kepada peguam-peguam saya yang telah membela saya. Alhamdulillah, keputusan itu adalah keputusan yang amat saya alu-alukan,” kata beliau dan berharap dapat dibebaskan daripada tiga lagi pertuduhan lain. – 15 September, 2026

Topics

 

Hangat

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

RM950mil scrap metal tax evasion probe: MACC raids NationGate subsidiary

Electronics manufacturer says it is cooperating with authorities, taken steps to ensure operations remain unaffected after yesterday’s raid

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related