KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim khuatir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat gambaran lengkap berkaitan isu melibatkan kepimpinan di negeri berkenaan.
Menurut Ismail, beliau mengambil maklum mengenai teguran Anwar namun menegaskan ia kemungkinan berasaskan maklumat yang tidak lengkap.
“Saya khuatir teguran tersebut berasaskan gambaran tidak lengkap tentang peranan sebenar Menteri Besar dan Exco dalam perkara ini.
“Menteri Besar dan Exco tidak membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Yang Dipertuan Besar. MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) membincangkan pendirian pentadbiran negeri terhadap proklamasi yang dikemukakan sebagai keputusan Undang Yang Empat,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Seremban, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri menyifatkan cubaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan Exco menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai biadab dan tidak bertamadun.
Anwar menegaskan, tiada mana-mana pihak dalam pentadbiran negeri mempunyai kuasa atau mandat untuk bertindak sedemikian.
“Menteri Besar dan Exco yang membuat keputusan, ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras. Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja?” katanya.
Dalam pada itu, Ismail memohon pihak berkuasa mempertimbangkan semula arahan larangan terhadap bekas ahli MMKN yang dibatalkan pelantikannya baru-baru ini daripada memasuki pejabat dan menjalankan semula tugas pentadbiran.
Tanpa memperincikan pihak berkuasa berkenaan, Ismail memberitahu, ia bagi mengambil kira kepentingan serta urusan berkaitan pentadbiran, peruntukan, pembangunan dan bantuan kepada rakyat tidak terjejas.
“Saya memohon pihak berkuasa yang berkenaan menilai semula arahan tersebut dengan segera, termasuk asas dan skopnya, dengan mengambil kira pertikaian yang masih belum ditamatkan serta keperluan memastikan urusan rakyat dan pentadbiran negeri tidak terganggu,” katanya.
Beliau berkata permohonan itu dibuat melalui saluran yang tertib tanpa membelakangkan peranan pihak berkuasa, khususnya dalam aspek keselamatan.
“Saya menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada kerajaan negeri dan proses perundangan untuk menyelesaikan pertikaian ini. Kerajaan negeri akan terus bertindak secara beradab, menghormati institusi diraja Negeri Sembilan dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.
Ismail turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa status barisan bekas Exco sedia ada sebagai Exco masih sah di sisi undang-undang dan perlu dibenarkan menjalankan fungsi pentadbiran seperti biasa. – 24 September, 2026
