NEW YORK – Malaysia merupakan antara negara yang meninggalkan dewan ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memulakan ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.
Delegasi yang meninggalkan dewan turut melaungkan ejekan ketika penunjuk perasaan turut berkumpul di luar ibu pejabat badan dunia itu.
Ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB di New York itu, Netanyahu mempertahankan tindakan ketenteraan yang diambil di Gaza dan menafikan melakukan genosid, meskipun berdepan dengan kritikan antarabangsa susulan serangan berkenaan .
“Ini kebenaran yang mudah. Israel tidak melakukan genosid. Israel menghalang genosid,” kata Netanyahu sambil menyifatkan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) sebagai “tentera paling beretika di dunia”.
Israel melancarkan kempen ketenteraan di Gaza tahun lalu, mengakibatkan lebih 73,920 orang terbunuh.
Pada September 2025, sebuah suruhanjaya siasatan bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat kesimpulan bahawa Israel telah melakukan genosid, manakala Persatuan Antarabangsa Sarjana Genosid (IAGS) berkata dasar dan tindakan Israel memenuhi takrifan undang-undang bagi jenayah berkenaan. Israel menolak dapatan tersebut.
Berikutan itu, Afrika Selatan membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Mahkamah kemudiannya mengarahkan Israel mengambil langkah sementara di bawah Konvensyen Genosid, namun belum membuat keputusan sama ada Israel telah melakukan genosid. Kes tersebut sedang berjalan.
Sementara itu, Reuters melaporkan polis menahan sekurang-kurangnya 30 orang, termasuk pelakon dan ahli politik, ketika mereka mengadakan bantahan di luar ibu pejabat PBB pada Khamis ketika Netanyahu dijadualkan menyampaikan ucapan.
Pelakon yang juga pemenang Oscar, Susan Sarandon; pemenang Emmy, Hannah Einbinder; calon Kongres Demokrat, Darializa Avila Chevalier dan anggota Majlis Bandaraya New York, Chi Osse antara yang ditahan. – 25 September, 2026
