◉ HEADLINES

Keluarga pasrah, SAR dijangka ditamatkan selepas 33 hari bencana banjir Nepal

Perkara berkenaan dimaklumkan Wisma Putra dalam pertemuan dengan waris, bahawa fasa operasi menyelamat dijangka ditamatkan oleh kerajaan Nepal dalam masa terdekat sebelum beralih kepada operasi pemulihan

7:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keluarga rakyat Malaysia yang masih hilang di Nepal susulan bencana banjir besar bulan lepas, pasrah apabila dimaklumkan kerajaan negara itu sedang mempertimbangkan untuk menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Perkara itu dijelaskan oleh Wisma Putra dalam pertemuan selama kira-kira empat jam dengan waris rakyat Malaysia yang masih hilang, yang bermula pada jam 10.14 pagi tadi di Putrajaya.

Dalam pertemuan itu, waris turut diberikan penerangan tentang proses berkaitan sijil kematian yang sedang diusahakan untuk dipercepat bagi memudahkan urusan keluarga.

Menurut anak kepada salah seorang rakyat Malaysia yang masih hilang, S. Sankara, Wisma Putra memaklumkan kerajaan Nepal dijangka menamatkan fasa operasi menyelamat dalam masa terdekat sebelum beralih kepada operasi pemulihan.

“Berdasarkan taklimat yang diterima, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan ketika ini. Keluarga diberi penerangan mengenai proses dokumentasi termasuk berkaitan sijil kematian yang akan dikeluarkan oleh kerajaan Nepal,” katanya, lapor Bernama.

Pertemuan itu juga membabitkan taklimat beberapa agensi berkaitan operasi SAR, pengurusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) serta proses perundangan dan dokumentasi.

Dalam pada itu, Sankara berkata keluarganya cuba meneruskan kehidupan seperti biasa meskipun masih berdepan dengan tekanan emosi susulan kehilangan ibunya K. Kalaimathi, 57, yang berada di Nepal bagi tujuan ritual keagamaan.

Ditanya keadaan bapanya yang sebelum ini dilihat begitu terkesan dengan kehilangan isterinya, Sankara berkata keadaan bapanya kini lebih baik.

Bagi Adura Masood pula, penantian mengharapkan kepulangan suaminya, Dr Mohd Padzil Daros, 63, masih belum berakhir.

“Belum ada. Tiada berita,” katanya ketika ditanya tentang perkembangan terkini suaminya, namun percaya pasukan yang terlibat telah melakukan yang termampu dalam usaha pencarian.

Adura berkata taklimat hari ini menjelaskan usaha pencarian yang telah dilakukan pasukan terlibat di negara itu, namun tidak banyak perkembangan baharu berhubung keberadaan mangsa.

Mohd Padzil merupakan antara anggota kumpulan dikenali sebagai “Team Loe” yang dilaporkan gagal dihubungi ketika berada kira-kira 18 kilometer dari sempadan Rasuwagadhi–Kerung.

Kumpulan itu dilaporkan dalam perjalanan dari Kathmandu menuju ke sempadan Nepal–Tibet dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda ketika bencana melanda kawasan Rasuwa.

Antara yang menyertai perjalanan berkenaan ialah anggota pasukan khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa serta Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Mohd Sani Harul.

Selain itu, Ganesh Neupane, Shabuddin Mun, Azman Karim, Muhammad Hazig Ismail, Mohd Nohan Salim, Jason Ngeow dan Muhamad Nasir Abdul Talib turut menyertai misi terbabit.

Pertemuan hari ini adalah yang kedua menyusuli libat urus rasmi pertama kerajaan dengan keluarga terjejas pada 30 Ogos, lima hari selepas kejadian pada 26 Ogos, namun tidak semua keluarga dapat diwakili ketika itu.

Wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyertai pertemuan itu.

Banjir dan aliran puing pada 26 Ogos lepas yang dicetuskan oleh runtuhan ais dan batu di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet dilaporkan mengorbankan lebih 1,450 orang, manakala ribuan lagi masih belum dapat dikesan. – 27 September, 2026

Topics

 

◉ Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

◉ Related