KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan memperdaya Lembaga Pengarah syarikat itu berhubung pelantikan syarikat pemaju dan penyelewengan nilai pasaran 24 lot tanah milik Felda bernilai ratusan juta ringgit.
Mohd Zaid Abdul Jalil, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
“Faham (pertuduhan), saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Mohd Zaid di kandang tertuduh.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Zaid didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah FIC untuk mempercayai bahawa Synergy Promenade Sdn Bhd layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Developer bagi projek cadangan pembangunan komersial di atas lot tanah Felda Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Tertuduh didakwa menyembunyikan fakta bahawa syarikat terbabit sebenarnya hanya layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Planner. Perdayaan tersebut mendorong Lembaga Pengarah meluluskan pelantikan berkenaan.
Pertuduhan kedua pula menyaksikan Mohd Zaid didakwa menipu Lembaga Pengarah FIC berhubung penilaian 24 lot tanah milik Felda bagi projek komersial berkenaan. Beliau didakwa melaporkan nilai pasaran tanah tersebut berasaskan laporan Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd berjumlah RM330.96 juta, sedangkan jumlah sebenar yang dilaporkan ialah RM691.7 juta.
Selain itu, tertuduh didakwa mengemukakan maklumat palsu kononnya Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) memberikan anggaran awal nilai pasaran tanah bernilai RM180 juta, sedangkan JPPH tidak pernah memberikan sebarang anggaran awal kepada Felda.
Tindakan itu mendorong Lembaga Pengarah menerima tawaran Synergy Promenade berdasarkan cadangan Minimum Guaranteed Return sebanyak RM500 juta atau 10 peratus daripada Gross Development Value (GDV).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Kuala Lumpur pada 16 Januari 2014 dan 29 April 2014. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Shah Ab Razak memohon jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, serta syarat tambahan menyerahkan pasport dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM.
Bagaimanapun, peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan masalah kewangan dan memohon penangguhan penyerahan pasport.
“Berhubung syarat tambahan oleh pihak pendakwaan supaya pasport anak guam diserahkan kepada mahkamah, pihak kami memohon izin kepada mahkamah supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selepas dia pulang dari umrah. Anak guam saya akan menunaikan umrah pada 4 Nov hingga 14 Nov ini dan bayaran telah dibuat sejak bulan Julai lagi,” hujah peguam tertuduh.
Hakim Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan. Mahkamah menetapkan 29 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pendakwaan ini adalah sebahagian daripada tindakan susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuka enam kertas siasatan baharu serta satu siasatan lama berhubung projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dan penyelewengan aset Felda/FIC bagi tempoh 2010 hingga 2020. – 29 September, 2026
