KUALA LUMPUR – Lima pelajar mendakwa pernah dibuli oleh seorang daripada dua pelajar yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar lelaki tingkatan dua di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad, berkata, perkara berkenaan didedahkan melalui siasatan lanjut yang dijalankan pihaknya terhadap 69 keterangan yang direkodkan setakat ini.
Beliau memberitahu, hasil soal siasat dan ketika keterangan diambil, lima pelajar mendakwa pernah dibuli oleh salah seorang daripada dua pelajar yang ditahan itu.
“Setakat ini tiada tangkapan baharu dibuat selain dua lelaki berusia 16 tahun yang kini direman masing-masing sehingga 1 dan 3 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati mangsa tidak pernah memaklumkan kepada keluarganya bahawa pernah dibuli di sekolah.
Semalam media melaporkan Alzafny berkata pihaknya telah menahan seorang lagi pelajar lelaki berusia 16 tahun, menjadikan sehingga kini dua yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu.
Sebelum itu, seorang pelajar tingkatan empat dilaporkan direman enam hari bagi membantu siasatan.
Alzafny sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya dimaklumkan mengenai satu kejadian mendatangkan kecederaan terhadap pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah.
Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia.
Kes berkenaan masih lagi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan menyeluruh masih dilakukan. – 30 September, 2026
