◉ HEADLINES

Mandat UNIFIL tamat: Anggota MALBATT mula pulang dari Lubnan Januari 2027

Semua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan dijadualkan pulang secara berperingkat bermula Januari 2027, manakala pengunduran aset ketenteraan dijalankan menerusi laluan laut

1:54 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kesemua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) bakal diundurkan secara berperingkat ke tanah air bermula Januari 2027.

Langkah ini menyusul penamatan mandat misi pengaman PBB berkenaan yang dijadualkan berakhir pada penghujung tahun ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa proses kepulangan anggota akan menggunakan beberapa penerbangan khas, manakala pemindahan aset ketenteraan berat pula membabitkan laluan laut bermula 17 Jan.

Menurutnya, pengunduran ini mengikut garis masa penugasan yang selesai sepenuhnya menjelang akhir Disember nanti.

“Anggota kita dijangka mula pulang pada Januari tahun depan melalui beberapa penerbangan, manakala aset ketenteraan Malaysia pula akan dibawa pulang menggunakan kapal bermula pada 17 Jan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di sini, hari ini.

Terbuka sertai misi baharu PBB

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan bahawa Malaysia kekal bersedia untuk menghantar semula pasukan pengaman ke Lubnan sekiranya PBB memutuskan untuk mewujudkan misi baharu.

Namun, beliau memberi penekanan bahawa sebarang penglibatan tentera negara wajib berlandaskan mandat rasmi badan dunia tersebut.

“Sekiranya pihak PBB memutuskan untuk menubuhkan pasukan baharu atas apa jua nama sekalipun dan memerlukan penglibatan kita, Malaysia bersedia untuk menyertainya.

“Namun, hal ini tertakluk pada keputusan PBB. Kita tidak akan terlibat dalam sebarang operasi yang tidak berada di bawah mandat badan dunia berkenaan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa isu keselamatan di kawasan pergolakan tersebut menjadi topik utama perbincangan sewaktu lawatan kerjanya ke Lubnan baru-baru ini. Rakan sejawatnya di sana mengesahkan situasi persekitaran masih berdepan ancaman berterusan.

Ketika ini, persidangan PBB sedang berlangsung di mana sebahagian besar negara peserta menyuarakan cadangan agar keputusan menamatkan misi pengaman tersebut dikaji semula.

Sejarah penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lubnan bermula secara kecil-kecilan pada tahun 2007 sebelum PBB meluluskan penempatan penuh bertaraf satu batalion pada 2013. – 3 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

◉ Related