KUALA LUMPUR – Bukit Aman akan menghantar pasukan ke Jepun bagi menjalankan siasatan serta mendapatkan maklumat berhubung lima rakyat Malaysia yang ditahan kerana didakwa menyembunyikan lima kilogram kokain bernilai AS$757,300 dalam pelapik kasut di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo, Jepun pada Sabtu.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Hussein Omar Khan, ia bagi mendapatkan maklumat berkaitan termasuk rangkaian sindiket dadah di Malaysia dan antarabangsa.
Jelasnya, semakan polis mendapati kumpulan itu terdiri daripada enam individu berusia 19 hingga 26 tahun dan berlepas dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehari sebelumnya dengan tujuan melancong.
“JSJN PDRM dimaklumkan oleh pihak berkuasa Jepun berhubung penahanan itu pada 10 Oktober lalu.
“JSJN telah mengenal pasti kesemua individu berkenaan termasuk seorang yang telah pulang, dengan lima daripada mereka berasal dari Sarawak.
“Tiada seorang pun mempunyai rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan lima rakyat Malaysia ditahan selepas disyaki cuba menyeludup lima kilogram (kg) kokain yang dianggarkan bernilai AS$757,300 (kira-kira RM3.2 juta) dengan menyembunyikan dadah berkenaan dalam kasut, di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, pada Sabtu.
Menurut polis Tokyo, kelima-lima individu itu cuba memasuki Jepun dari Malaysia dengan membawa lima kilogram kokain yang dianggarkan bernilai AS$757,300 di pasaran gelap.
Pegawai kastam di lapangan terbang itu menemui bungkusan kokain yang disembunyikan di bawah pelapik tapak kasut setiap seorang daripada lima individu berkenaan ketika pemeriksaan ketibaan mereka.
Mengulas lanjut Hussein berkata, pihak berkuasa Jepun sedang berusaha mengenal pasti sumber dadah berkenaan, individu yang terlibat serta rangkaian antarabangsa di sebalik kes itu.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran percutian, khususnya jika diminta membawa beg atau barangan milik orang lain.
Hussein mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima atau membawa barangan tanpa mengetahui kandungannya bagi mengelakkan diri daripada dipergunakan sebagai keldai dadah. – 14 Oktober, 2026
