◉ HEADLINES

Laporan penilaian sama ada F1 wajar kembali ke Malaysia akan dibentang ke Kabinet, bulan depan

KBS telah diberi mandat untuk mengetuai jawatankuasa penilaian F1, bagi meneliti kos penganjuran, pulangan pelaburan (ROI) dan kesediaan infrastruktur bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh

1:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membentangkan penilaian mengenai keputusan sama ada Malaysia akan menjadi tuan rumah semula perlumbaan Grand Prix Formula 1 ke Kabinet, menjelang akhir November ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, KBS telah diberi mandat untuk mengetuai jawatankuasa penilaian F1, bagi meneliti kos penganjuran, pulangan pelaburan (ROI) dan kesediaan infrastruktur bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh.

Menurutnya, jawatankuasa penilaian F1 itu melibatkan semua kementerian dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Penilaian menyeluruh, katanya diperlukan kerana penganjuran F1 melibatkan kos besar selain memerlukan penelitian terhadap aspek kebolehlaksanaan serta ROI.

Beliau berkata walaupun penganjuran F1 Grand Prix (GP) Bahrain di Malaysia dari 2 hingga 4 Oktober lalu diunjurkan menjana pulangan ekonomi sebanyak RM950 juta, namun kerajaan perlu menilai jika manfaat sama dapat dikekalkan jika perlumbaan itu dianjurkan setiap tahun.

“Laporan penilaian itu dijangka siap menjelang akhir November dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk keputusan mengenai penganjuran semula F1 di Malaysia.”

“Kalau kita lihat pada 2017, penjualan tiket kita hanya lebih kurang 30,000 berbanding tahun ini mencecah hampir 100,000 tiket. Ada juga cadangan untuk menganjurkan dalam tempoh beberapa tahun sekali dengan kerjasama mana-mana negara, tapi (ia) masih pada peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai penganjuran F1 secara kekal pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 atas faktor kos penganjuran.

Pada 2 hingga 4 Oktober lalu, Malaysia menjadi tuan rumah GP Gulf Air Bahrain, sekali gus menyaksikan acara berprestij itu kembali ke SIC selepas sembilan tahun.

Mengulas lanjut, Dr Mohammed Taufiq menegaskan sebarang keputusan berhubung F1 perlu memastikan peruntukan untuk pembangunan atlet dan sukan lain tidak terjejas.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai pembangunan bakat sukan permotoran supaya Malaysia tidak hanya menjadi penaja pasukan atau penganjur, beliau berkata KBS memperuntukkan RM5.6 juta pada 2025 bagi melaksanakan 29 program melibatkan 159 siri aktiviti dan pertandingan sukan permotoran dua serta empat roda di seluruh negara.

Jelasnya, usaha membangunkan bakat akar umbi permotoran diteruskan tahun ini menerusi pelbagai program termasuk motocross, go-kart, drift, rali dan perlumbaan mini bike di bawah inisiatif Rakan Muda. – 15 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Education Ministry scraps teacher training system to lighten workload

Minister Fadhlina Sidek vows to help teachers focus on what matters most – teaching – as new curriculum changes approach

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

◉ Related