◉ HEADLINES

Projek Residensi Siswa Universiti Malaya beri akses kediaman kepada sehingga 40,000 pelajar

Fasa pertama yang dijangka siap pada 2030, akan menyediakan kemudahan kediaman bagi 10,000 mahasiswa, manakala fasa kedua dirancang untuk menampung tambahan 30,000 mahasiswa

7:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya akan bekerjasama dengan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi pembangunan Residensi Siswa UM yang akan dilaksanakan dalam dua fasa dan dijangka siap pada 2023.

Fasa pertama akan dilaksanakan oleh PBLT Sdn. Bhd. manakala pembangunan fasa kedua akan melibatkan kerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Sime Darby Property Berhad.

Pelancaran projek berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

UM dalam kenyataannya berkata, pembangunan Residensi Siswa UM akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan kapasiti keseluruhan yang dirancang untuk menampung sehingga 40,000 mahasiswa.

Fasa pertama, katanya, yang dijangka siap pada 2030, akan menyediakan kemudahan kediaman bagi 10,000 mahasiswa, manakala fasa kedua dirancang untuk menampung tambahan 30,000 mahasiswa.

“Residensi ini akan menawarkan empat kategori penginapan bagi memenuhi keperluan mahasiswa yang berbeza, iaitu Standard dengan lima bilik bagi 10 penghuni, Standard Premium dengan tiga bilik bagi enam penghuni, Apartment dengan dua bilik bagi tiga penghuni, serta Studio untuk seorang penghuni.

“Setiap kategori kediaman turut dirancang dilengkapi kemudahan penyaman udara bagi meningkatkan keselesaan penghuni.

Menurut UM, penyediaan pelbagai pilihan kediaman ini mencerminkan pendekatan UM dalam membangunkan kemudahan penginapan yang lebih fleksibel, selesa dan bersesuaian dengan keperluan kehidupan mahasiswa, sekali gus menyokong usaha jangka panjang Universiti untuk memperkukuh ekosistem kehidupan kampus.

Sementara itu, Naib Canselor UM, Datuk Seri Ir. Noor Azuan Abu Osman, berkata pembangunan Residensi Siswa mencerminkan keutamaan Universiti dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus diberikan perhatian seiring dengan usaha memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

“Kita tidak boleh bercakap tentang kecemerlangan pendidikan tinggi tanpa memberikan perhatian kepada realiti kehidupan mahasiswa. Keperluan kediaman yang selesa, selamat dan sesuai dengan kemampuan mereka perlu menjadi sebahagian daripada keutamaan pembangunan universiti.

“Melalui Residensi Siswa, UM mahu memastikan pembangunan kampus bukan sekadar tertumpu kepada infrastruktur akademik, tetapi turut memberikan manfaat yang nyata kepada kehidupan seharian mahasiswa,” katanya.

Beliau memberitahu, Residensi Siswa UM dirancang berteraskan konsep community living, yang menggabungkan fungsi kediaman dengan ruang interaksi sosial serta aktiviti komuniti dan pendekatan ini bertujuan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan pembentukan sahsiah, hubungan sosial dan semangat kebersamaan, sekali gus memperkaya pengalaman mahasiswa sepanjang tempoh pengajian.

Pembangunan Residensi Siswa turut berkait dengan agenda pembangunan infrastruktur pendidikan tinggi di bawah Rancangan Malaysia (RMK).

Jelasnya, pelaksanaan secara berfasa juga membuka ruang kepada kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, termasuk potensi penglibatan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), bagi meneroka model pembangunan yang berdaya maju dan mampan.

“Pelaksanaan Projek Residensi Siswa UM dijangka menjadi antara langkah penting dalam memperkukuh kapasiti penginapan dan meningkatkan pengalaman kehidupan kampus, selaras dengan komitmen Universiti untuk memastikan pembangunan institusi terus memberi manfaat kepada generasi mahasiswa masa kini dan akan datang,’’ katanya. – 15 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

◉ Related