KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) dijadikan model pengurusan pembangunan yang bersih, cekap dan bebas daripada ketirisan serta pembaziran dana awam.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu perlu mengambil iktibar daripada kelemahan pengurusan projek terdahulu yang menyaksikan peningkatan kos, kelewatan dan pembinaan terbengkalai sehingga menyebabkan kerugian kepada negara.
“Berapa banyak dana negara itu terbazir, bocor kerana pengurusannya lemah. Jadi, Naib Canselor, pastikan UM dan projek Residensi Siswa ini contoh yang patut diteladani oleh agensi-agensi lain.
“Anda boleh melaksanakan tugas dengan cemerlang, bersih, bebas daripada rasuah serta penuh dedikasi. Ini cabaran sebenar bagi kita,” katanya dalam ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa UM di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan timbalannya Adam Adli Abd Halim, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.
Universiti Malaya akan bekerjasama dengan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi pembangunan Residensi Siswa UM ini.
Fasa pertama akan dilaksanakan oleh PBLT Sdn. Bhd., manakala pembangunan fasa kedua akan melibatkan kerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Sime Darby Property Berhad.
Dalam pada itu, Anwar berkata projek berkenaan merupakan tanggungjawab besar perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi, selain menuntut komitmen semua pihak yang terlibat untuk memastikan ia disiapkan mengikut perancangan.
Beliau berkata isu ketirisan bukan berpunca daripada perbezaan kaum, wilayah atau kelas masyarakat, sebaliknya berkait dengan perbuatan tidak amanah yang menjejaskan kepentingan negara.
Justeru, Perdana Menteri berkata beliau akan memantau sendiri pelaksanaan projek berkenaan serta mahu ia disiapkan lebih awal daripada jadual asal pada 2030 bagi menangani masalah penginapan mahasiswa, khususnya peningkatan kadar sewa rumah di kawasan sekitar universiti.
Bagi memastikan pelaksanaannya dapat disegerakan, Anwar berkata beliau mengarahkan semua jentera kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk memberi keutamaan kepada projek berkenaan.
“Ini projek keutamaan kita yang mesti disiapkan dalam masa cepat. Bila saudara (Azuan) kata siap 2030, saya kata tidak. Inilah Kerajaan MADANI baharu yang cekap. Nanti kita akan cuba melaksanakan supaya dipercepatkan,” katanya.
Pelaksanaan Projek Residensi Siswa UM menyokong agenda kerajaan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 bagi menangani keperluan penginapan mahasiswa menerusi infrastruktur lebih terancang, selesa dan bersesuaian dengan keperluan semasa.
Projek pembangunan yang dirancang untuk menampung seramai 40,000 mahasiswa itu akan dilaksanakan secara berfasa, bermula Fasa Satu bagi menyediakannya kepada 10,000 pelajar sebelum diteruskan dengan Fasa Dua bagi kapasiti tambahan 30,000 pelajar.
Residensi itu akan menawarkan empat kategori penginapan iaitu Standard dengan lima bilik bagi 10 penghuni, Standard Premium dengan tiga bilik bagi enam penghuni, Apartment dengan dua bilik bagi tiga penghuni serta Studio untuk seorang penghuni dengan semua unit dirancang dilengkapi kemudahan penyaman udara.
Projek itu juga dirancang berteraskan konsep community living, yang menggabungkan fungsi kediaman dengan ruang interaksi sosial dan aktiviti komuniti bagi mewujudkan persekitaran yang menggalakkan pembentukan sahsiah, hubungan sosial dan semangat kebersamaan, sekali gus memperkaya pengalaman mahasiswa sepanjang tempoh pengajian. – 15 Oktober, 2026
