KUALA LUMPUR – Parti Bersama merehatkan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan, berkuatkuasa 20 Oktober sehingga 19 Januari ini.
Menurut Presiden Bersama, Syukri Razab, parti itu memandang serius perkembangan mengenai kes melibatkan Nik Nazmi dan berpendirian setiap isu yang melibatkan kepimpinan serta anggota parti perlu ditangani sewajarnya.
Ini kerana, katanya, ia demi memelihara integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap parti.
“Parti Bersama Malaysia mengambil maklum kenyataan pengakuan Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung penglibatan beliau dalam satu kes yang tersebar baru-baru ini.
“Bersama berpendirian keputusan ini adalah perlu dan munasabah, tanpa menafikan segala sumbangan dan komitmen Nik Nazmi kepada perjuangan Bersama parti ini dilancarkan semula pada Mei 2026,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Nik Nazmi dalam kenyataannya mengesahkan beliau merupakan salah seorang daripada dua individu yang dilaporkan ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membabitkan dakwaan khalwat, kelmarin.
Dalam kenyataan menerusi Facebook, Nik Nazmi yang merupakan pemimpin Parti Bersama berkata, beliau bersama-sama rakan-rakannya telah mengadakan perbincangan di studio mereka di Brickfields dan kemudiannya memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya kerana ingin melihat beberapa bahan berkaitan dengan projek yang dibincangkan.
Nik Nazmi memberitahu, ketika pegawai JAIS tiba, hanya ada beliau dan wanita tersebut sahaja di situ.
“Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan. Seperti yang saya maklumkan juga kepada Pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka.
“Saya ingin memohon maaf kepada isteri keluarga dan keluarga kami dan semua yang terkesan di atas kesilapan pertimbangan pada waktu kejadian yang tidak sewajarnya berlaku,’’ katanya. – 17 Oktober, 2026
