KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh terdekat selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran gabungan berkenaan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rayuan itu dijangka dikemukakan dalam tempoh beberapa hari ini.
Beliau berkata, proses menyediakan rayuan berkenaan sedang dijalankan.
“Rayuan itu sedang disediakan dan dijangka dikemukakan dalam tempoh beberapa hari ini kepada Menteri Dalam Negeri.
“Terserah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk memutuskannya kerana keputusannya adalah muktamad,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Jelajah Himpunan & Munajat Penyatuan Ummah Parlimen Kubang Kerian di Kota Bharu, malam tadi.
Semalam, RoS dalam kenyataannya memaklumkan pendaftaran PN dibatalkan selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran seperti yang dinyatakan dalam notis sebelum ini.
RoS berkata, keputusan itu dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] selepas meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan gabungan itu pada 12 Oktober lalu.
Pada 24 September lalu, RoS mengesahkan semua kegiatan PN digantung mengikut Subseksyen 13(2A) Akta 832.
PN kemudiannya mengemukakan semakan kehakiman bagi mencabar notis yang dikeluarkan jabatan berkenaan untuk menggantung semua aktivitinya.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, PN berhasrat meneruskan prosiding di Mahkamah Tinggi esok bagi semakan kehakiman untuk mencabar notis RoS yang menggantung semua kegiatan gabungan itu.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 22 Oktober untuk mendengar permohonan PN bagi mendapatkan penggantungan inter partes terhadap notis berkenaan. – 21 Oktober, 2026
