◉ HEADLINES

‘Apa salah kita?’: Muhyiddin tempelak tindakan tatatertib PN terhadap Bersatu

Muhyiddin Yassin menyifatkan cubaan Perikatan Nasional menghukum partinya sendiri sebagai langkah aneh tatkala krisis dalaman gabungan pembangkang itu kian meruncing

9:01 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – “Apa salah kita?” soal Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap Bersatu sebagai langkah ‘aneh dan luar biasa’.

Presiden Bersatu itu menegaskan, partinya sehingga kini masih belum menerima sebarang surat rasmi berhubung prosiding disiplin berkenaan.

“Agak aneh dan luar biasa kalau Majlis Tertinggi PN mahu ambil tindakan untuk menghukum kita. Apa salah kita?” soalnya sejurus mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di ibu pejabat parti itu.

Reaksi balas itu hadir susulan kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kelmarin yang menegaskan gabungan terbabit akan mengambil tindakan tatatertib terhadap Bersatu atas dakwaan bertindak bercanggah dengan kepentingan PN, termasuk pertembungan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut Takiyuddin, tindakan terbabit berpandukan Fasal 15 Perlembagaan PN yang memperuntukkan hukuman amaran, penggantungan mahupun pemecatan mengikut tahap keseriusan kesalahan, selain pertuduhan rasmi akan diserahkan kepada Bersatu untuk dijawab.

Krisis dalaman itu tercetus selepas Bersatu membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berhubung penafian hak mereka untuk hadir, bersuara dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

Pertikaian itu membawa kepada pembatalan pendaftaran PN oleh JPPM pada 20 Oktober, sebelum mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan tersebut bagi membolehkan gabungan berkenaan beroperasi sementara menunggu perbicaraan selesai.

Mengulas persediaan mendepani PRN Melaka, Muhyiddin mengesahkan Bersatu akan mengumumkan keputusan rasmi mengenai penyertaan mereka pada 29 Oktober ini, biarpun enggan memperincikan agihan kerusi buat masa ini.

“… Memang kita akan sertai (PRN Melaka), saya tak payah nak jelaskan mana kita akan bertanding,” katanya sambil menambah bahawa gerak kerja jentera telah pun dimulakan. – 27 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

◉ Related