KUALA LUMPUR – Projek Trans Sabah Gas Pipe line (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) yang diluluskan pada 2016 dengan nilai RM9.4 bilion merupakan kepincangan tatakelola yang sangat serius sehingga akhirnya kontrak kedua-dua projek itu ditamatkan dua tahun kemudian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu pokok dalam projek terbabit ialah pembayaran kepada kontraktor dibuat mengikut jadual masa dan bukannya kemajuan kerja sebenar.
Pada 2018, kata beliau, kira-kira RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada nilai kontrak telah dibayar kepada kontraktor, sedangkan kemajuan kerja yang dilaporkan bagi kedua-dua projek hanya sekitar 13 peratus.
Malah, ujar Anwar, angka kemajuan kerja tersebut belum diaudit atau disahkan dan semakan juga mendapati, urusan tanah serta kebolehlaksanaan pembekalan gas bagi TSGP serta dan hak pemasangan saluran paip bagi MPP turut belum diselesaikan.
“Susulan penamatan kontrak pada 2018, Kerajaan Persekutuan berdepan obligasi pembayaran balik pinjaman kepada China EximBank berjumlah RM8 bilion.
‘Saya harus akui bahawa mantan-mantan Perdana Menteri telah usahakan, bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menghubungi pihak negara China untuk memulakan rundingan tapi tidak berhasil.
“Saya kemukakan semula pada 2024, ada pengakuan oleh Presiden China Xi Jinping dan premier Li Chiang dan Alhamdulillah, pada Jumaat, 30 Oktober 2026 lalu, saya menyaksikan pemeteraian perjanjian antara SSER dengan China EximBank bagi penyaluran semula pinjaman bernilai RM5 bilion.
“RM5 bilion daripada RM8 bilion. RM1 bilion daripada RM2 bilion itu memang sudah dijalankan kerja. RM1 bilion itu memang hilang awang-awangan. Jadi apa projeknya? Projek RM5 bilion itu adalah membiayai skim bekalan air seluruh Perak, terutama utara Perak dan Pulau Pinang.
“Kalau kita tak teruskan perjanjian tersebut, kerugian keseluruhannya adalah RM8 bilion. Walaupun perjanjian itu dilakukan, ada juga sedikit kerugian terutama kerana projek itu sebahagian telah dijalankan,” katanya.
Anwar memberitahu, perjanjian semula yang dimeterai mengurangkan kerugian negara kepada RM3 bilion termasuk RM1.5 bilion yang telah diusahakan. “Jadi kita dapat balik sekitar RM5 bilion dari projek Perak dan bekalan air ke Pulau Pinang,’’ katanya
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau memberitahu, perjanjian penyaluran semula pinjaman yang dimeterai itu mengurangkan kerugian negara kepada RM3 bilion kerana mendapat balik nilai RM5 bilion dalam bentuk pembiayaan projek pembangunan baharu NPWSS.
Kerugian RM3 bilion berbangkit daripada pampasan kepada kontraktor antara lain untuk kerja awalan dan kos yang ditanggung, katanya.
Kontrak kedua-dua projek bernilai RM9.4 bilion diberikan secara rundingan terus kepada China Petroleum Pipeline Bureau pada 1 November 2016. Ia diluluskan melalui Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER), sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan.
MPP ialah projek saluran paip petroleum sepanjang 600 kilometer, dari Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan ke Jitra, Kedah dengan nilai kontrak RM5.35 bilion manakala TSGP pula projek saluran paip gas sepanjang 680 kilometer, menghubungkan Terminal Gas Kimanis dengan Sandakan dan Tawau, Sabah dengan nilai kontrak RM4.06 bilion.
Kedua-duanya melibatkan pembiayaan oleh Export-Import Bank of China (China EximBank) iaitu 85 peratus daripada nilai projek dan dijamin Kerajaan Persekutuan. – 3 November, 2026
