◉ HEADLINES

‘Tidak masuk akal’ Apandi Ali persoal mengapa AG kini bersikap tidak konsisten pengampunan bersyarat Najib

Apandi Ali berkata tiada sebarang kekaburan berhubung keputusan Lembaga Pengampunan malah keputusan itu amat jelas justeru patuhi sahaja keputusan tersebut sepenuhnya, tanpa sebarang pengecualian

9:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali mempersoalkan kenapa Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar kini bersikap tidak konsisten berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan menyifatkan ia sebagai satu keadaan yang tidak masuk akal.

Apandi, yang dilantik sebagai AG ketika pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri, berkata secara ringkas beliau bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, tiada sebarang kekaburan berhubung keputusan Lembaga Pengampunan malah keputusan itu amat jelas.

Justeru, katanya, patuhi sahaja keputusan tersebut sepenuhnya, tanpa sebarang pengecualian.

“Selain itu, Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa ‘sebelum mengemukakan nasihat mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah mempertimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara berhubung perkara itu.

“Sudah tentu pendapat Peguam Negara bagi tujuan pengampunan itu mestilah memihak kepada pemberian pengampunan.

“Jadi, mengapa Peguam Negara kini bersikap tidak konsisten berhubung pengampunan itu? Ini satu keadaan yang tidak masuk akal,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Baginda bertitah keputusan yang diperkenankan menerusi kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang telah diputuskan tanpa menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam pada itu, menegaskan ia tidak sama sekali mempertikaikan, mengenepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

AGC dalam kenyataannya hari ini turut menolak gambaran tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang merupakan suatu percubaan untuk mengambil alih atau melaksanakan kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda.

Sebaliknya, kata AGC, kuasa pengampunan dan kuasa mahkamah untuk mentafsir serta menentukan kesan undang-undang sesuatu perintah adalah dua perkara berbeza, malah mendapatkan keputusan mahkamah mengenai pelaksanaan sesuatu perintah tidak sama sekali bermaksud mempersoalkan kewibawaan pihak yang mengeluarkan perintah tersebut.

Najib dilaporkan selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi, semalam.

Pembayaran itu adalah antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lepas, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International. – 7 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

◉ Related