KUALA LUMPUR – Kerajaan bertegas menolak pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bukan kerana dendam atau sentimen politik, sebaliknya enggan tunduk kepada desakan ‘tauke-tauke besar’ yang mahu mengalihkan beban cukai terus ke bahu rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, ramai wakil perniagaan besar mencadangkan pengembalian GST dalam sesi dialog Belanjawan sebelum ini kerana sistem itu memudahkan mereka memindahkan tanggungan cukai kepada pengguna di peringkat bawahan.
“Kalau tengok dalam perbincangan, semua tauke dan peniaga besar nak GST. Mesti ada alasan. Bagi dia mudah… cukai itu dialihkan, tak payah kena pada dia, kena di bawah. Itu saya punya masalah besar (tidak bersetuju).
“Janganlah bebankan rakyat. Kos sara hidup dan masalah-masalah lain. Itu sebabnya saya rayu supaya mereka faham mengapa GST tak boleh dilaksanakan sekarang,” tegasnya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Syarat gaji minimum RM4,000 sebelum pertimbang GST
Anwar yang juga Menteri Kewangan meletakkan penanda aras jelas bahawa GST hanya wajar dipertimbangkan semula apabila tahap pendapatan rakyat meningkat ke paras selesa, misalnya pendapatan minimum RM4,000 sebulan.
Menurut beliau, pelaksanaan cukai kepenggunaan menyeluruh ketika pendapatan rakyat masih rendah hanya akan menjerut golongan berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi apabila usaha kerajaan menaikkan gaji minimum turut berdepan tentangan segelintir pihak industri.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) sama ada pendirian kerajaan dipengaruhi faktor politik pemimpin terdahulu, Anwar menempelak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
“Saya keras tak mahu GST. Bukan soal politik. Apa politiknya kalau menguntungkan ekonomi negara dan menguntungkan rakyat? GST itu cukai kepada semua. SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) itu cukai kepada peniaga. Saya memilih untuk cukai kepada peniaga,” katanya.
Terbuka perbaiki kelemahan SST, tangani cukai berganda
Bagaimanapun, Perdana Menteri mengakui beliau tidak bersikap dogmatik dalam pengurusan ekonomi dan menyatakan kesediaan kerajaan menambah baik sistem SST sedia ada bagi menyelesaikan isu cukai berganda yang dibangkitkan industri.
Mengulas kebimbangan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung manipulasi harga sepanjang rantaian bekalan di bawah SST, Anwar tidak menafikan wujud ruang untuk peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang.
Justeru, beliau menegaskan penguatkuasaan dan pemantauan rapi kekal menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan pengguna tidak terus menjadi mangsa manipulasi harga di pasaran. – 12 November, 2026
