KUALA LUMPUR – Setiap pergerakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di luar kediamannya selama hampir lapan jam semalam dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta syarat-syarat tahanan rumah.
Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, pergerakan beliau dari jam 10.25 pagi hingga 6.25 petang pada Jumaat itu sentiasa berada di bawah kawalan dan seliaan rapi pihaknya.
Penjelasan itu dibuat susulan laporan media berhubung tempoh keberadaan beliau di luar kediaman pada 13 November berkenaan.
Menurut jabatan itu, jadual perjalanan Najib semalam bukan sekadar melibatkan urusan menunaikan solat Jumaat seperti yang dilaporkan, sebaliknya merangkumi beberapa ketetapan rasmi lain.
“Jabatan Penjara Malaysia ingin menjelaskan bahawa setiap pergerakan beliau dilaksanakan berdasarkan urusan dan keperluan yang telah ditetapkan serta tertakluk kepada SOP, syarat-syarat tahanan rumah dan kawalan serta seliaan pihak jabatan,” kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut kronologi perjalanan tersebut, jabatan berkenaan memaklumkan antara urusan yang dijalani beliau termasuk:
Menghadiri temu janji pemeriksaan kesihatan bagi rawatan susulan di Jabatan Ortopedik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menunaikan solat Jumaat di Masjid Penjara Kajang.
Mengikuti sesi pengajian al-Quran bersama ustaz daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Penjara Kajang.
Menghadiri sesi kaunseling bersama Pegawai Psikologi Penjara Kajang.
Tambah kenyataan itu, setelah selesai semua urusan yang dijadualkan, beliau telah dibawa pulang dari Penjara Kajang pada jam 5.50 petang dan selamat tiba di kediamannya di Jalan Langgak Duta pada jam 6.25 petang.
Dalam pada itu, Jabatan Penjara menegaskan bahawa pelaksanaan aktiviti keagamaan, rawatan kesihatan serta program pemulihan dan intervensi merupakan aspek penting yang sentiasa diberi perhatian dalam pengurusan mana-mana individu yang sedang menjalani hukuman.
“Jabatan Penjara Malaysia akan terus memastikan segala urusan berkaitan dilaksanakan secara teratur, profesional dan mematuhi ketetapan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu lagi. – 14 November, 2026
