KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka menerima keseluruhan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M dari Korea Selatan menjelang Mac 2028, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurut Khaled, setakat ini dua pesawat telah diterima sementara empat lagi dijadual tiba pada April pada tahun depan sebelum berlangsung Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027.
Baki 12 pesawat pula, katanya dijangka diterima pada Mac 2028, sekali gus melengkapkan penghantaran keseluruhan 18 pesawat yang diperoleh kerajaan.
“Kesemua pesawat akan berpangkalan di Kuantan, Pahang manakala penempatan seterusnya akan dipertimbangkan selepas pesawat Hawk ditamatkan perkhidmatan,” katanya, lapor Bernama.
Khaled berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Panchor di Kota Tinggi, hari ini.
Terdahulu, Malaysia memeterai kontrak perolehan 18 pesawat FA-50M daripada Korea Aerospace Industries (KAI) pada 2023 dengan nilai hampir RM4 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Pesawat berkenaan akan menggantikan armada Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang semakin berusia, selain berfungsi sebagai pesawat latihan lanjutan juruterbang pejuang dan melaksanakan misi tempur ringan. – 14 November, 2026
