KUALA LUMPUR – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura berhubung jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah di negara berkenaan sehingga menjejaskan kedua-dua negara tersebut.
Kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad selepas hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin Asean ke-49 di Manila itu menyatakan Prabowo telah menyampaikan permohonan maaf bagi pihak kerajaan dan rakyat Indonesia, selain memberi jaminan kepada pemimpin serantau bahawa negaranya telah melakukan segala usaha untuk menangani kebakaran berkenaan.
Kenyataan itu juga menyebut kebakaran yang berlarutan hampir empat bulan berkenaan telah menyebabkan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan masyarakat di Singapura dan Malaysia.
“Saya ingin memohon maaf kepada negara jiran saya, Malaysia dan Singapura, berhubung kebakaran hutan besar yang kami alami, yang mengambil masa hampir empat bulan untuk dikawal,” katanya.
Prabowo turut mendedahkan kerajaan Indonesia telah menggembleng segala usaha bagi menangani kebakaran hutan dan tanah berkenaan.
Beliau berkata seramai 71,000 anggota pemadam kebakaran telah dikerahkan untuk operasi tersebut dan daripada jumlah itu, 16 orang terkorban manakala ramai lagi mengalami kecederaan.
Selain itu, Prabowo berkata Indonesia turut kehilangan dua helikopter yang terhempas ketika menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Syukurlah, keadaan kini mula terkawal, memandangkan kita dimaklumkan bahawa fenomena El Nino tahun ini adalah yang terburuk dalam tempoh 50 tahun,” katanya.
Jelas beliau, Indonesia telah membatalkan 17 konsesi korporat manakala 26 syarikat sedang disiasat dan 11 lagi telah didakwa.
“Sebanyak 23 syarikat lagi dijangka didakwa. Secara keseluruhan, 104 syarikat sedang disiasat oleh pasukan polis kami,” kata Prabowo.
Menurut kenyataan itu, Prabowo turut menekankan keperluan untuk mengubah pendekatan Indonesia dalam menangani kebakaran hutan dan tanah daripada memberi tumpuan kepada operasi pemadaman serta mitigasi kepada langkah pencegahan secara sistematik.
Beliau berkata Indonesia sedang membuat persiapan untuk menubuhkan sebuah agensi baharu dan melaksanakan pelbagai program bagi memperkukuh usaha pencegahan kebakaran hutan dan tanah pada masa hadapan.. – 16 November, 2026
