◉ HEADLINES

NGO lapor polis dakwa wujud komplot gulingkan Ismail dan Tuanku Muhriz

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) menggesa polis menyiasat individu yang merancang dan menghantar surat peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim tanpa kebenarannya, serta kemungkinan wujud kaitan dengan usaha menjatuhkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan secara tidak sah

3:59 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis dibuat hari ini berhubung dakwaan wujud komplot pihak tertentu untuk menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim serta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Laporan tersebut dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Setiausaha Agung Sekpur, Razali Zakaria berkata, kumpulan advokasi media sosial itu mengesyaki wujud rancangan untuk menyingkirkan Ismail daripada jawatan Menteri Besar menerusi surat peletakan jawatan yang ditandatangani lebih awal dan diserahkan tanpa persetujuan beliau.

“Sekpur juga mengesyaki mungkin terdapat kaitan antara pihak yang terlibat dalam isu surat peletakan jawatan Menteri Besar itu dengan cubaan menggulingkan atau menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan melalui cara yang tidak sah,” katanya kepada pemberita hari ini, memetik laporan Bernama.

Sehubungan itu, Sekpur menggesa pihak polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang merancang, mengarahkan, menyediakan serta menghantar surat peletakan jawatan berkenaan ke istana.

Beliau turut meminta polis menyiasat sama ada individu atau kumpulan yang sama berada di sebalik kedua-dua cubaan tersebut.

Menurut Razali, laporan polis itu dibuat demi mempertahankan prinsip demokrasi dan keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Ahmad Azwan Amin Nordin mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Dakwaan Razali berhubung surat peletakan jawatan itu selari dengan kenyataan Ismail kepada pemberita semalam selepas beliau menghadap Tuanku Muhriz.

Ismail menafikan menghantar surat peletakan jawatannya kepada pihak Istana Negeri Sembilan, malah menegaskan beliau tidak pernah memberi kebenaran untuk surat itu diserahkan bagi pihaknya.

Pada Isnin (16 November) lalu, Ismail dilaporkan telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, sebelum anaknya, Naim Ismail menerusi satu hantaran di media sosial mendakwa bapanya dijadikan kambing hitam dalam krisis perlembagaan negeri itu selain mempersoalkan tindakan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan peletakan jawatan tersebut dan bukannya Ismail sendiri.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebelum ini memuat naik kenyataan rasmi mengenai peletakan jawatan Ismail di laman Facebook rasmi BN.

Pengerusi BN merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan bahawa Ismail meletakkan jawatan secara sukarela dan BN telah mengemukakan nama calon pengganti kepada pihak istana.

Susulan majlis menghadap Tuanku Muhriz semalam, Istana Negeri Sembilan dalam satu kenyataan memaklumkan Ismail perlu membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkannya kekal sebagai Menteri Besar. – 21 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

◉ Related