◉ HEADLINES

Platform media sosial turunkan lebih 40,000 kandungan buli tahun ini: Fahmi

Kerajaan turut memberi tumpuan kepada mekanisme pengesahan umur dan kerjasama serantau bagi melindungi kanak-kanak di media sosial

5:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sejumlah 40,214 kandungan buli dan 55 kandungan jelik melampau melibatkan kanak-kanak diturunkan platform media sosial atas permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) antara 1 Jan hingga 15 Nov lalu, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini.

Fahmi menjelaskan angka buli tersebut merangkumi semua peringkat umur dan merujuk kepada jumlah hantaran yang dipadamkan, bukan bilangan kes atau mangsa.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) di Dewan Rakyat berhubung statistik buli siber dan eksploitasi seksual kanak-kanak tahun ini, serta keberkesanan pelesenan media sosial yang berkuat kuasa sejak 1 Jan 2025.

Operasi gempur eksploitasi kanak-kanak

Fahmi berkata kementeriannya bersama MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan operasi bersepadu serta analisis forensik digital bagi membanteras jenayah seksual kanak-kanak.

“Dalam membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian, MCMC turut bekerjasama dengan pihak PDRM melalui pemberian bantuan teknikal, pembekalan maklumat dan analisis forensik digital serta pelaksanaan operasi bersepadu,” katanya.

Operasi CyberGarden 2026 tahun ini merekodkan 69 tangkapan dan rampasan 498,690 fail digital, termasuk 204,934 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Sementara itu, Ops Pedo Bersepadu 3.0 pada 14 hingga 16 Sept lalu melibatkan 52 serbuan dengan 53 tangkapan, termasuk lapan remaja.

Hukuman maksimum dan pematuhan platform

Setakat 15 Nov, MCMC mengambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam, dan jelik melampau—membabitkan 25 pendakwaan mahkamah, 16 kompaun, dan 41 surat amaran.

“Pindaan kepada undang-undang telah membolehkan pihak berkuasa mengenakan ataupun pihak mahkamah mengenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM500,000 dan kesalahan ini merupakan satu kesalahan yang boleh tangkap tanpa waran (seizable offence),” katanya.

Kerajaan turut menguatkuasakan Kod Perlindungan Kanak-Kanak di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi memastikan tahap pematuhan lebih tinggi dalam kalangan penyedia perkhidmatan berlesen.

Pengesahan umur dan tekanan serantau

Menjawab soalan tambahan mengenai kerjasama platform antarabangsa, Fahmi berkata Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM dan MCMC turut bergantung kepada maklumat agensi risikan luar negara.

Kerajaan kini memfokuskan mekanisme pengesahan umur bagi menyekat interaksi golongan dewasa yang cuba melakukan pengantunan seksual terhadap kanak-kanak.

“Pada pertengahan Disember, saya akan bertemu rakan sejawat dari Indonesia dan Singapura untuk menyampaikan mesej jelas kepada platform bahawa kita tidak mahu jenayah seksual terhadap kanak-kanak berlaku menerusi platform media sosial,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan tidak bercadang membangunkan platform media sosial khusus untuk kanak-kanak buat masa ini, sebaliknya menggesa ibu bapa memantau penggunaan digital anak-anak secara aktif. – November 26, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

◉ Related