HEADLINES

Tangani isu 3R, kerajaan disyor gubal Akta Kebencian Kaum

Institusi diraja, sebagaimana agama adalah jauh lebih tinggi kedudukannya dan tidak selayaknya disamakan dengan mana–mana akta sedia ada

8:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesyorkan kepada kerajaan supaya menggubal Akta Kebencian Kaum dan Ekstremisme Agama bagi menangani isu berkaitan agama, bangsa dan raja (3R).

Menurut beliau, saranan itu berikutan perbuatan menghina raja atau sultan tidak sama dengan tindakan menghasut yang termaktub di bawah akta sedia ada.

“Institusi diraja, sebagaimana agama adalah jauh lebih tinggi kedudukannya dan tidak selayaknya disamakan dengan mana–mana akta sedia ada.

“Seingat kami, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) sebelum ditukarkan kepada Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat (MPKR) pernah mengusulkan penggubalan akta ini, namun kami tidak pasti perkembangannya,” katanya menerusi catatan terbaharu di blog milik beliau, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan mengkaji untuk mewujudkan akta baharu berkaitan berdasarkan aspek sivil, yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, hasil perbincangan bersama beberapa agensi termasuk badan bukan kerajaan (NGO) berhubung perundangan berkaitan isu itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet minggu ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli turut mencadangkan agar kuasa sepenuhnya diberikan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memadam paparan aktiviti penghinaan institusi diraja, menyentuh sensitiviti agama, penularan maklumat palsu, serta perkauman di media sosial tanpa terikat kepada mana-mana pihak.

“Pihak pemegang taruh yang mewakili kerajaan dan pakar bebas yang diiktiraf juga perlu diberi peluang untuk menganggotai jawatankuasa terbabit sebagai semak imbang,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan kerajaan mewujudkan peruntukan yang jelas dalam Perlembagaan Persekutuan bagi kes penghinaan agama Islam.

“Walaupun Islam adalah agama Persekutuan, sehingga hari ini tiada peruntukan yang jelas dan tegas mengenai penghinaan agama Islam yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru kesalahan menghina agama hanya boleh didakwa di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, undang-undang syariah juga mempunyai beberapa kelemahan yang mengakibatkan kesukaran untuk membuat pendakwaan dan pensabitan kes kerana skop kesalahan menghina agama adalah terlalu umum dan kabur.

Malah katanya, Dewan Syura Penasihat Majlis Raja-Raja juga perlu ditubuhkan berperanan sebagai penghubung antara raja dan institusi kerajaan.

“Dalam konteks Malaysia, Dewan Syura Penasihat Majlis Raja-Raja boleh dianggotai oleh agamawan yang berpengalaman dalam tadbir urus hal ehwal agama Islam dan diiktiraf keilmuannya,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli turut mencadangkan agar dialog antara agama secara tertutup diadakan dan memberi fokus kepada penglibatan pemimpin agama.

“Fokus perbincangan lebih mencapah kepada akidah dan isu global seperti perubahan iklim, ekstremisme agama, keamanan, dan pelbagai inisiatif sebagai masyarakat global.

“Hasil perbincangan tersebut kemudiannya diterjemahkan dalam pelbagai bentuk program melibatkan masyarakat awam, mahasiswa, golongan profesional, bahkan pemimpin negara-negara dunia,” katanya. – 25 Julai, 2023

Topics

 

Hangat

[UPDATED] Welcome back to the Black Parade: My Chemical Romance set to rock Malaysia in 2026

Emo legends to play Bukit Jalil on April 30 as part of their long-awaited world tour, with Malaysian tickets ranging from RM299 to RM1,099 and sales opening on July 11, 2025

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related